Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi serangkap pantun yang membawa mesej perpaduan dan muafakat di tengah persaingan Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar yang juga Pengerusi PH menyampaikan pantun empat kerat yang menekankan kepentingan mengekalkan persahabatan dan persefahaman walaupun kedua-dua gabungan itu bertanding secara berasingan pada PRN kali ini.

Dalam perkongsian sama, beliau turut memuat naik beberapa keping gambar termasuk bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Berikut pantun yang dikongsikan Anwar:
Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan,
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.


Perkongsian itu hadir ketika hubungan PH dan BN kembali menjadi perhatian susulan kedua-dua parti komponen Kerajaan Perpaduan memilih untuk bertanding secara berasingan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Walaupun kerjasama antara kedua-dua gabungan di peringkat Kerajaan Persekutuan dilihat masih kekal utuh, persaingan di medan pilihan raya serta perbezaan pandangan yang timbul menjelang PRN terus mencetuskan pelbagai reaksi.
Sebelum ini, Anwar mengingatkan mana-mana pemegang jawatan dalam kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan sepanjang tempoh berkempen.

Beliau turut menegaskan bahawa mereka yang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan perlu mematuhi disiplin, dan sekiranya memilih untuk melanggarnya, mereka seharusnya berundur daripada jawatan masing-masing.
Susulan itu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata Anwar selaku Perdana Menteri boleh memecat beliau serta menteri-menteri BN lain jika tidak berpuas hati, namun menegaskan tiada sebab untuk mereka melepaskan jawatan.
Artikel lain:



Untuk rekod, PH bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Negeri Sembilan, manakala BN meletakkan 25 calon menerusi persefahaman bersama Perikatan Nasional (PN) yang bertanding di baki 11 kerusi.






