Madjo aset masa depan Villa


Salzburg: Aston Villa tewas kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi Piala Super UEFA, namun penyerang remajanya, Brian Madjo mencuri tumpuan menerusi aksi penampilan sulungnya yang tertangguh sekali gus memberi petanda positif menjelang musim baharu.

Madjo menjadi pemain termuda pernah menjaringkan gol dalam Piala Super apabila meledak gol penyamaan pada penghujung babak pertama. Gol itu cukup layak buatnya selepas menunjukkan kegigihan walaupun terlepas beberapa peluang sebelum itu.

Pemain berusia 17 tahun itu tampil mengagumkan di Salzburg dengan ketinggian 1.93 meter serta kekuatan fizikal yang mengundang perbandingan dengan penyerang Belgium, Romelu Lukaku dan bekas penyerang Villa serta England, Emile Heskey.

Madjo yang dilahirkan di England memberi masalah besar kepada antara pertahanan terbaik dunia, Willian Pacho dan dilihat mampu menyerlah dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas terpaksa menunggu peluang untuk membuktikan kemampuan bersama Villa.

Villa menandatangani Madjo daripada kelab Perancis, Metz, pada hari ulang tahunnya yang ke-17 pada Januari lalu. Bagaimanapun, mereka tidak dapat mendaftarkannya selepas FIFA menganggap perpindahan itu sebagai perpindahan antarabangsa yang hanya boleh dilakukan selepas pemain berusia 18 tahun.

Pertikaian itu berpunca daripada Madjo yang pernah membuat tiga penampilan bersama Luxembourg, negara tempat dia membesar sedangkan Villa menganggapnya sebagai pemain England.

Madjo pernah beraksi untuk skuad senior Luxembourg sebelum membuat sembilan penampilan bersama England Bawah 17 tahun dan kemudian menyertai Villa.

Dia akhirnya mendapat kelulusan minggu lalu selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menyebelahi rayuan Villa. Selepas menjaringkan empat gol dalam aksi persahabatan pramusim, pengurus Unai Emery menurunkannya dalam kesebelasan utama menentang PSG, juara Liga Juara-Juara dua musim berturut-turut.

PSG membuka jaringan menerusi Khvicha Kvaratskhelia pada minit ke-20. Madjo kehilangan bola di luar kawasan penalti sendiri sebelum jaringan itu terhasil dan ketika itu kelihatan pemain muda berkenaan bakal tenggelam di sebalik aksi cemerlang pemain Georgia itu.

Peluang pertama Madjo hadir selepas dia melakukan hantaran kepada John McGinn sebelum meluru ke dalam kotak penalti untuk menyambut hantaran lintang kaptennya. Namun, tandukan lencongnya tersasar sedikit di sebelah tiang.

Beberapa minit kemudian, dia melepaskan rembatan kencang yang tersasar.

McGinn sekali lagi menemui Madjo dengan hantaran ke dalam kotak penalti, namun tandukan penyerang itu melepasi palang.

Ketika babak pertama hampir tamat, pemain muda itu terus mencari ruang untuk menjaringkan gol.

Kapten Villa melambungkan hantaran ke arah tiang jauh dan Madjo menggunakan kekuatan fizikal untuk mengatasi Pacho sebelum menyambut bola dengan voli kaki kiri yang menerjah bahagian atas gawang.

“Dia benar-benar hebat,” kata McGinn. “Mudah untuk dia hilang semangat selepas terlepas beberapa peluang, tetapi penyerang yang bagus akan terus mencari posisi untuk menjaringkan gol.

“Dia akan menjadi pemain besar untuk kami musim ini.”

Madjo hampir mencipta peluang gol sejurus selepas rehat apabila melakukan larian pantas ke kawasan PSG sebelum membuat hantaran kepada McGinn, namun rembatan kapten Villa itu ditepis penjaga gol Matvey Safonov.

Desire Doue kemudian menjaringkan gol kemenangan PSG selepas lebih sejam permainan. Madjo digantikan oleh Tammy Abraham, yang dilihat memeluk pemain muda itu ketika dia meninggalkan padang.

Emery turut kagum dengan aksi Madjo dan pemain tengah berusia 19 tahun, George Hemmings.

“Mereka sebelum ini hanya berlatih dan belum bermain, jadi kami cuba menyediakan mereka untuk beraksi dan mencapai tahap seperti yang ditunjukkan hari ini,” kata Emery mengenai Madjo.

“Masih banyak yang perlu dilakukan, tetapi hari ini mereka membuktikan bahawa mereka sudah hampir mencapai tahap untuk bersaing bersama kami.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top