sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Atlet pelayaran Polis Diraja Malaysia (PDRM), Mohd Romzi Muhamad muncul juara keseluruhan acara perseorangan (ILCA 7) pada Kejohanan Duyong Marina Resort Monsoon Challenge (DMRMC) 2024, Kuala Terengganu, semalam.
Mohd Romzi yang berpangkat Inspektor dan bekas atlet negara dalam sukan itu bijak menggunakan pengalaman untuk memperagakan kawalan kapal dengan baik serta membaca arah angin.
Sementara itu, seorang lagi wakil PDRM yang turun dalam acara berpasangan (International 420), Tg Mohd Amirul Asraf Tg Othman bersama Ikrami Hakimin Marham turut cemerlang apabila muncul naib juara dalam acara berkenaan.
Pengurus pasukan pelayaran PDRM, Deputi Superintendan (DSP) Dzulkanaen Hardy Abdul Rahman memuji prestasi yang ditunjukkan leh Mohd Romzi dan Amirul Asraf kerana berjaya mengharumkan nama PDRM.
“Kejohanan kali ini berlangsung dengan cemerlang dan prestasi pasukan pelayaran PDRM berada di tahap terbaik,” katanya.
Kejohanan DMRMC itu bermula pada 26 hingga 29 Disember 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd