FAM digesa segera selesaikan isu PAFA

FAM digesa segera selesaikan isu PAFA


Laporan Sukan Sinar berhubung kemelut yang melanda PAFA. (Gambar kecil: Muhammad Yadzan, Abdul Aziz)

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) diminta menyelesaikan segera kemelut yang membelenggu Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) sebelum kongres badan induk tersebut pada 15 Februari depan.

Itu gesaan Presiden Persatuan Bolasepak Tanjung Malim, Datuk Muhammad Yadzan Mohammad agar pemilihan FAM mengikut tata kelola dan berlangsung dalam suasana harmoni.

“Saya minta FAM sebagai badan induk bola sepak negara menggantung sementara PAFA bagi membolehkan isu ini diselesaikan di peringkat persatuan terlebih dulu.

“Kami (Persatuan Bolasepak Tanjung Malim dan Persatuan Bolasepak Kuala Kangsar) amat kecewa dengan isu Kongres PAFA pada 8 Disember lalu.

“Saya telah hantar aduan kepada FAM dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) mengenai isu PAFA mengetepikan Persatuan Bolasepak Tanjung Malim dari menghadiri kongres,” katanya pada Jumaat.

Yadzan, bekas Presiden PAFA juga mengakui masih samar dengan kesahihan badan induk bola sepak Perak yang masih dalam kes mahkamah.

“Sejujurnya saya masih belum menerima pengesahan rasmi baik dari FAM atau PAFA mahu pun PJS mengenai status terkini PAFA.

“Saya juga harap perkara ini mendapat pencerahan bagi membolehkan pembangunan bola sepak akar umbi negeri Perak berjalan dengan lancar,” katanya.

Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Kangsar sudah hantar aduan rasmi

Presiden Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Kangsar, Abdul Aziz Yeop Jamaludin mengesahkan pihaknya sudah menghantar borang aduan kepada FAM untuk tindakan lanjut.

Menurut Abdul Aziz, pihaknya sudah hantar aduan rasmi secara bertulis ke FAM pada 3 Januari lalu supaya FAM menyiasat segera Kongres PAFA yang diadakan pada 8 Disember sebelum ini.

“Biarpun begitu melalui email yang diterima dari FAM memaklumkan agar aduan perlu dikemukakan melalui borang BA1 (borang aduan) yang kemudiannya diserahkan pada 9 Januari.

“Kami kini hanya tunggu dipanggil untuk beri keterangan kepada jawatankuasa FAM dalam masa terdekat.

“Pada masa ini, tiada keperluan untuk saya menjawab kenyataan PAFA sebab aduan telah dibawa ke pengetahuan FAM dan PJS.

“Biarlah jawatankuasa yang berkenaan menilai secara adil berdasarkan kenyataan dan bukti-bukti yang telah dikemukakan. Saya harap FAM dapat menyelesaikan isu ini secara adil dengan segera,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top