‘Merah’ pacu ekonomi, ‘biru’ hanya pandai bercakap – MP Rasah

‘Merah’ pacu ekonomi, ‘biru’ hanya pandai bercakap – MP Rasah


Pakatan Harapan (PH) perlu berdepan persaingan antara ‘warna merah’ dan ‘warna biru’ dalam menentukan hala tuju pentadbiran Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, kata Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin.

Menurut laporan Malaysia Gazette, beliau berkata, pengundi disaran menilai rekod pentadbiran sedia ada sebelum membuat pilihan, khususnya berkaitan prestasi ekonomi negara di bawah Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Foto arkib: FB Cha Kee Chin 谢琪清

Menurut Kee Chin, beberapa petunjuk ekonomi menunjukkan perkembangan positif termasuk prestasi ringgit yang didakwanya antara mata wang terbaik di Asia sepanjang tempoh 12 bulan lalu, peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), prestasi pasaran saham serta kadar pengangguran yang kekal rendah.

“Apakah isu yang besar pada hari ini? Adakah isu agama, isu perkauman atau isu ekonomi? Sebahagian besar rakyat akan bertanya mengenai ekonomi.
“Hari ini, ringgit Malaysia merupakan antara mata wang paling kukuh di Asia. Ini membuktikan ekonomi negara kita berada dalam keadaan kukuh dan stabil,” katanya ketika berucap pada satu ceramah di Negeri Sembilan.

Mengulas lanjut, beliau berkata peningkatan prestasi ekonomi itu dicapai ketika Kerajaan Persekutuan diterajui PH, sambil menyindir pihak yang menggunakan simbol atau warna biru dalam persaingan politik.

“Pelaburan langsung asing kita terus meningkat dan mencatatkan rekod tertinggi di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Persekutuan yang diterajui PH. Ini bukan di bawah kerajaan berwarna biru,” ujarnya.

Foto arkib: FB Cha Kee Chin 谢琪清

Kee Chin turut mendakwa pasaran saham negara menunjukkan peningkatan sejak Anwar mengambil alih pentadbiran negara sebagai Perdana Menteri, apabila indeks pasaran meningkat daripada sekitar 1,500 mata kepada kira-kira 1,700 mata dalam tempoh tiga tahun.

“Sekarang, dalam tempoh tiga tahun, ia telah meningkat kepada sekitar 1,700 mata. Ini juga berlaku di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar dan kerajaan berwarna merah,” katanya.

Beliau berkata, kadar inflasi sekitar 2.5 peratus dan kadar pengangguran kira-kira tiga peratus turut menjadi petunjuk bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, lima indikator utama iaitu kekuatan ringgit, peningkatan FDI, inflasi yang terkawal, prestasi pasaran saham dan kadar pengangguran yang rendah wajar dijadikan pertimbangan oleh rakyat ketika membuat keputusan pada PRN.

“Lima perkara ini merupakan antara petunjuk penting yang perlu kita lihat kerana semuanya memberi kesan secara langsung kepada keadaan ekonomi negara.
“Sebab itu, saya menyeru supaya undilah Pakatan Harapan untuk memastikan ekonomi negara terus bergerak ke hadapan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Kee Chin berharap momentum di peringkat Kerajaan Persekutuan dapat diteruskan di Negeri Sembilan bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dibawa ke negeri itu.

“Kerajaan Persekutuan sekarang diterajui oleh Pakatan Harapan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Pengerusi Pakatan Harapan.
“Kita berharap ‘gelombang merah’ ini dapat terus bergerak dan membawa lebih banyak pembangunan serta memastikan ekonomi Negeri Sembilan menjadi lebih baik,” tambahnya.

Sumber: Malaysia Gazette (Muhammad Azizul Osman)





Source link

OR

Scroll to Top