Jawab panggilan bapa dalam solat

Jawab panggilan bapa dalam solat


– Advertisement –

Soalan:

Betulkah kalau kita sedang solat kemudian bapa kita atau emak kita panggil jika kita jawab tidak batal solat kita itu?

– Advertisement –

Jawapan:

Apabila seorang itu telah masuk dalam sembahyang yang wajib maka haram dia berhenti melainkan kerana darurah dari kerana tiap-tiap amalan yang wajib tidak harus dihentikannya sekalipun kerana menjawab panggilan ibu bapa melainkan kerana darurah sahaja.

Ada pun pada sembahyang sunat maka tidak haram berhenti tetapi makruh hukumya berhenti jika tiada darurah dan harus berhenti jika dipanggil oleh ibu bapa dan solat sunatnya itu batal sebab menjawab panggilan mereka.

Telah berkata Syeikh Bajuri:

وإجابة ﺍﻟﻮﺍﻟﺪﻳﻦ ﺣﺮﺍﻡ ﻓﻲ ﺍﻟﻔﺮﺽ ﻻﻥ ﻗﻄﻌﻪ ﺣﺮﺍﻡ، ﺟﺎﺋﺰﺓ ﻓﻲ ﺍﻟﻨﻔﻞ

Ertinya: “Dan menjawab pangilan dua ibu bapa itu haram pada sembahyang fardu kerana sengaja memutuskan sembahyang fardu itu haram dan harus memutuskan sembahyang yang sunat.” (Kitab Hasyiah Al-Bajuri)

Dan kata Syeikh Khatib Syarbini:

وَلَا تَجِبُ إجَابَةُ الْأَبَوَيْنِ فِي الصَّلَاةِ ، بَلْ تَحْرُمُ فِي الْفَرْضِ وَتَجُوزُ فِي النَّفْلِ

Ertinya: “Dan tidak wajib jawab panggilan ibu bapa di dalam sembahyang bahkan haram pada sembahyang fardu dan harus pada sembahyang sunat.” (Kitab Mughni Al-Muhtaj)

Kesimpulan

Tidak boleh menjawab panggilan ibu bapa ketika sedang solat fardu dan jika dijawab juga maka solatnya batal.

Boleh menjawab panggilan ibu bapa ketika sedang solat sunat dan solatnya itu batal sebab jawabnya itu. Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 26/1/2025



Source link

OR

Scroll to Top