Identiti 3 maut dalam kemalangan di Kota Tinggi dikenal pasti

Identiti 3 maut dalam kemalangan di Kota Tinggi dikenal pasti


am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Identiti tiga mangsa yang maut dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 80, Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini semalam telah dikenal pasti.

Mereka adalah pemandu Toyota Vios, Muhamad Shuhairil Soraiya, 21, dan penumpang, Nur Fatin Nabilah Yusrishahrun, 20, manakala pemandu Honda City, Muhamad Amin Mukhtar, 35.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada kira-kira jam 5.25 petang.

Katanya, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kereta Toyota Vios berkenaan terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta Honda City berkenaan.

“Ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh penolong pegawai perubatan bertugas.

“Mayat ketiga-tiga mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan,” katanya di sini hari ini.

Yusof berkata, kes masih dalam siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta tampil ke Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dan BBP Mersing bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kejadian jam 5.05 petang.

Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan penyelamatan termasuk rescue cutter dan pengusung.

Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top