ALOR SETAR – Persatuan belia disaran agar lebih kreatif mencari sumber kewangan selain memanfaatkan setiap sumber bukan kewangan dalam mengaktifkan persatuan masing-masing.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, persatuan belia tidak seharusnya hanya bergantung sepenuhnya kepada dana Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam penganjuran program, sebaliknya proaktif menggunakan rangkaian sedia ada.
Menurutnya, dana yang disediakan KBS untuk penganjuran program persatuan belia di setiap negeri kemungkinan tidak mencukupi kerana permintaan tinggi, oleh itu persatuan diminta berbelanja secara minimum namun memiliki impak yang besar.
“Berdasarkan pengalaman, sentiasa ada cabaran terutama untuk kita agihkan perbelanjaan hingga ke peringkat daerah, memang tidak mencukupi. Sudah tentu kalau boleh kita mahu lebih banyak (dana) cuma cabarannya bagaimana untuk pastikan setiap perbelanjaan mempunyai impak tinggi.
“Itu pendekatan yang kita ambil di peringkat KBS. Saya harap persatuan-persatuan belia pun ambil pendekatan sama. Selain kewangan, sumber lain yang boleh dimanfaatkan termasuk penggunaan media sosial, sumber manusia, bakat, akses atau rangkaian di peringkat daerah masing-masing,” katanya selepas merasmikan program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara Jom) peringkat negeri di sini pada Sabtu.
Adam Adli berkata, persatuan belia juga disarankan untuk meneliti dana-dana yang wujud di kementerian lain yang boleh dimanfaatkan golongan belia antaranya sektor pertanian dan keusahawanan.
“Saya fikir perlu tingkatkan juga kesedaran dan promosi sebab belia akan cari KBS. Kita akan adakan kerjasama lebih erat bersama kementerian lain dalam mempromosikan dana-dana sedia ada, kita akan bimbing belia untuk mohon,” ujarnya.
Menurutnya, KBS telah memperuntukkan dana sukan sebanyak RM20 juta khusus untuk penganjuran sukan di peringkat akar umbi menerusi persatuan belia dan persatuan sukan.
“KBS juga sediakan dana yang disalurkan kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) sebanyak RM5 juta untuk pentadbiran, RM2 juta dan tambahan RM3 juta untuk program. Bermakna keseluruhan RM10 juta untuk tahun ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, Adam Adli berharap golongan belia lebih aktif terlibat dalam persatuan agar golongan itu boleh dibimbing dalam merencanakan hala tuju mereka.
“Ini antara cabaran KBS, kita perlu tingkatkan lagi penglibatan belia dalam persatuan kerana hanya 10 peratus daripada populasi 9 juta belia terlibat dalam persatuan belia.
“Kita sedang berusaha untuk tingkatkan kepada 15 peratus antaranya menerusi Pelan Transisi Kepimpinan Belia seperti menurunkan had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua atau pemegang jawatan pertubuhan belia, iaitu 18 hingga 30 tahun,” ujarnya.
Menurutnya lagi, langkah lain termasuk mengaktifkan semula setiap komponen dalam program dan agensi belia untuk memastikan golongan belia dan persatuan belia dapat mengadakan lebih banyak program.
“Mana-mana negara pun, tak semua belia terlibat dengan persatuan namun kita mahu supaya menerusi persatuan belia, lebih ramai belia dapat didekati dengan mudah dan dapat dijadikan satu kelompok sasaran yang lebih tersusun dalam merencanakan program-program untuk mereka,” katanya.
Adam Adli memaklumkan, Kedah merupakan destinasi keenam program Kembara Jom yang dijadikan medium untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan belia untuk dijadikan input dalam draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia.
“Banyak input menarik kita perolehi dan akan didokumentasikan sebagai rekod dan laporan untuk rujukan dalam merangka polisi dan dasar berkaitan kepentingan belia.
“Kita tak mahu buat polisi atas dasar tanpa mengambil input secara langsung daripada golongan berkaitan termasuk pemegang taruh. Setiap input diterima dijadikan panduan dalam merangka program mahupun permohonan dalam Belanjawan akan datang termasuk Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13),” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!