JUARA Dunia Remaja 2024, Aaron Tai-Kang Khai Xing mara ke pusingan kedua Thailand Masters selepas menewaskan gandingan tuan rumah Pongsakorn Thongkham-Wongsathorn Thongkham.
Di Nimibutr Arena, Bangkok, pasangan negara mengambil masa 31 minit untuk menewaskan lawan 21-16, 21-18 untuk berdepan wakil Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin.
Muhammad Shohibul-Daniel sebelum itu berjaya menewaskan gandingan India, K.Viraj-K Viplav 21-13, 21-10 di pentas kejuaraan berstatus Super 300 tersebut.
Turut mara pemain profesional negara, Goh V Shem yang bergandingan dengan Choi Sol-gyu dari Korea Selatan.
V Shem-Sol-gyu menumpaskan beregu negara Goh Boon Zhe-Wong Vin Sean 21-16, 21-18 untuk berdepan wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana pada pusingan kedua Khamis ini.
Leo-Bagas mara selepas menewaskan beregu profesional negara, Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao 21-15-21-12.
Beregu wanita muda negara Ong Xin Tee-Carmen Ting melepasi halangan pertama selepas mengalahkan wakil India, S Kavipriya-S Simran 21-17, 21-14.
Sementara itu, beregu lelaki negara Low Hang Yee-Ng Eng Chong tersingkir awal selepas tewas kepada wakil tuan rumah, Chaloempon Charoenkitamorn-Worrapol Thongsa Nga 21-17, 21-19.