Pengendali PDRM FC, P Maniam memuji kesungguhan pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berjaya memberikan saingan sengit kepada pasukannya pada separuh akhir kedua MFL Challenge Cup walaupun berdepan masalah dalaman.
Menurutnya, Sang Kenari juga layak untuk mara ke final namun sedikit tuah menjadi milik The Cops yang menang penentuan sepakan penalti 5-4 selepas terikat 1-1 pada masa sebenar dengan agregat 4-4 di Stadium Darul Aman pada malam Sabtu.
“Pasukan Kedah ini luar biasa walaupun ada masalah gaji, mereka bermain dengan komited, kita boleh tengok karakter mereka, sebagai seorang jurulatih saya tabik kepada mereka termasuk barisan kejurulatihan.
“Mereka tidak layak ke final disebabkan tiada tuah dalam penentuan sepakan penalti walaupun mereka mempunyai kualiti untuk mara, dalam penalti kita dapat kelebihan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan tamat.
Penyandang juara MFL Challenge Cup tersebut kini sedang menunggu pemenang di antara Selangor FC ataupun Penang FC yang akan turun berentap pada satu lagi aksi separuh akhir kedua malam Ahad.
Mengulas lanjut, Maniam mahu pasukannya lebih agresif dan meningkatkan tempo dan mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol pada pentas akhir kelak.
“Kita perlu bermain dengan lebih baik pada final kelak, jika kita beraksi seperti hari ini kita akan menghadapi masalah sebab kita tidak mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama.
“Tapi apabila kita lakukan perubahan pada masa kedua, barulah kita nampak ada perubahan sedikit. Gol PDRM FC kebanyakan perlawanan kita bangkit pada hujung perlawanan dan ini adalah salah satu kekuatan kelab ini,”ujarnya.