Pemain warisan: Usah ghairah cipta spekulasi

Pemain warisan: Usah ghairah cipta spekulasi


Druijf (kanan) antara pemain yang didakwa memiliki darah keturunan Malaysia dan semakin hampir menyertai Harimau Malaya.

PEMINAT bola sepak diharap bersabar dan tidak membuat spekulasi melulu mengenai calon pemain warisan yang akan menyarung jersi pasukan Harimau Malaya.

Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, peminat perlu membiarkan pengurusan Harimau Malaya melakukan kerja mereka di sebalik tindakan spekulasi meneka nama pemain yang tidak membantu langsung proses tersebut.

Sebelum ini, beberapa nama pemain warisan muncul menerusi spekulasi yang dicipta sehingga ada yang ‘menyerang’ laman media sosial pemain tersebut.

Namun, akhirnya pemain itu menafikan mempunyai pertalian darah sehingga akhirnya ia sedikit sebanyak memalukan negara.

“Seharusnya kita tidak terlalu beria-ria terhadap perkara yang belum pasti dan mencipta spekulasi. Biarlah pihak yang berwajib mengelolakan Harimau Malaya ini membuat kenyataan.

“Tak payah dengar khabar angin sehingga ada yang menyerang media sosial pemain-pemain warisan tersebut minta untuk datang ke Malaysia.

“Ia bukan satu tindakan yang bagus terutama sekiranya perkara tersebut tidak betul sehingga boleh memberikan imej buruk kepada negara,” katanya kepada Sukan Sinar.

Sebelum ini, laman media sosial Frfuturetalents mendakwa beberapa pemain Eropah mempunyai susur galur keturunan Malaysia antaranya kapten Burnley, Josh Brownhill selain pemain Newcastle United, Isaac Hayden yang akhirnya disahkan bahawa ia tidak betul.

Spekulasi sekali lagi timbul mengenai calon pemain warisan selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend mengumumkan seorang pemain warisan dari Belanda sedang dalam peringkat akhir untuk mendapatkan pasport Malaysia.

Beberapa nama timbul di media sosial antaranya penyerang berusia 26 tahun, Ferdy Druijf yang kini beraksi bersama SK Rapid Vienna di mana kontraknya tamat pada 1 Julai ini.

Dalam pada itu, Jamal turut melihat kehadiran ramai pemain warisan ini menunjukkan proses untuk mengukuhkan pasukan Harimau Malaya berada di landasan yang betul.

“Kita nampak perkembangan sejak projek revolusi ini bermula.

“Saya harap kita dapat menyokong sepenuhnya demi bola sepak negara kita,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top