Pemain Penang, Rodrigo da Silva ketika melakukan tandukan ke arah gawang gol Kelantan Darul Naim pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi.
KEKURANGAN latihan disifatkan antara punca utama Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) terus bergelut saingan Liga Super musim ini, menurut penolong ketua jurulatih pasukan itu, Kamaruddin Muhammad.
Beliau berkata, Kelantan Darul Naim menghadapi masalah dari segi persiapan, kerana pemain tidak menjalani latihan harian yang mencukupi untuk bersaing dengan pasukan lain.
“Kita tidak berlatih setiap hari, sebaliknya hanya dipanggil untuk bermain. Pemain baru dikumpulkan dua hari lepas dan menjalani latihan sebelum menentang Penang FC malam tadi.
“Dalam tempoh seminggu, kita hanya berlatih dua atau tiga hari, menyebabkan pasukan sukar untuk bersaing dengan pasukan Liga Super lain seperti Penang FC, yang mempunyai pengalaman dan barisan pemain import yang mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.
Pada perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan Darul Naim yang dibarisi pemain muda tempatan tewas 1-6 kepada Penang.
Kamaruddin berkata, Kijang Emas kini beraksi hanya untuk melengkapkan baki jadual perlawanan Liga Super, kerana pasukan itu tidak mampu bersaing secara kompetitif.
“Kelab kini berada dalam keadaan kritikal. Kita tidak mampu bersaing kerana hanya bergantung kepada pemain muda tempatan, sedangkan pasukan lain memiliki lima pemain import serta pemain tempatan berpengalaman.
“Pasukan ini dibarisi pemain muda dengan hanya satu atau dua pemain yang berpengalaman dalam Liga Super. Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil kita akan mengalami kekalahan lebih besar selepas ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak pengurusan dapat mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah yang dihadapi pasukan, bagi memastikan kelab mampu memberi saingan lebih sengit kepada pasukan lawan.
“Saya juga berharap selepas ini kelab akan dikendalikan oleh jurulatih berkaliber yang dapat membantu pasukan bersaing lebih kompetitif,” katanya. – Bernama