nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Siapa sangka perkhidmatan sebagai lady driver yang dijadikan sebagai kerja sambilan mendorong, Siti Nur Hajar Akbar, 32, menjadikan khidmat itu sebagai kerjaya baharu.
Menceritakan kisahnya, Siti Nur Hajar yang mesra dengan panggilan Jajaa berkata, dia berhenti kerja sebagai penyedia kandungan bagi sebuah syarikat pada 31 Mac lalu.
“Sejujurnya, saya berhenti kerja ketika itu tanpa sebarang perancangan. Beberapa minggu sebelum berhenti kerja, saya menambah komitmen kewangan dengan membeli sebuah kereta.
“Ketika itu, saya fikir bagaimana nak bayar komitmen kalau berhenti (kerja) tanpa sebarang perancangan. Saya kemudian memuat naik aplikasi Threads untuk mencari kerja serta idea untuk pendapatan sambilan.
“Dari Threads, saya jumpa ramai yang jadi lady driver. Saya mula belajar sendiri untuk tawar perkhidmatan itu,” katanya yang juga bekerja sambilan sebagai tutor peribadi yang mengajar matematik.
Jajaa berkata, dia mendapat pelanggan pertama sebagai lady driver pada April lalu sekali gus mendorongnya untuk menjadikannya sebagai kerjaya baharu.
“Bagi kadar caj untuk lady driver, saya akan kira jumlah jarak dari rumah saya di Cheras ke lokasi pelanggan dan ke destinasi dituju dengan harga RM2.50 per kilometer (km).
“Bagi permintaan khas seperti menjadi teman untuk temu janji hospital, pergi majlis perkahwinan, belikan bunga untuk kejutan, teman beli-belah dan lain-lain ada penambahan harga, saya akan caj RM20 sejam,” katanya.
Sepanjang menjalankan perkhidmatan itu, katanya, dia sering mendapat pelanggan yang baik hati.
“Dalam tempoh lebih dua bulan menjalankan perkhidmatan ini, saya mempunyai kira-kira 20 pelanggan dengan kebanyakan mereka sudah menjadi pelanggan tetap.
“Semua pelanggan berpuas hati dengan khidmat saya. Malah, mereka selesa dengan saya. Ada yang meluahkan perasan mereka dan berkongsi cerita keluarga mereka,” katanya.
Menurutnya, dia mempromosikan perkhidmatan itu di media sosial bagi mendapatkan pelanggan.
“Pada mulanya, saya mempromosikan khidmat saya menerusi penulisan di Threads sahaja.
“Namun kini, saya turut mempromosi dengan memuat naik hantaran video pelanggan di Instagram serta TikTok selain Threads atas kebenaran pelanggan,” katanya.
Katanya, dia merancang untuk membantu lebih ramai ibu tunggal, wanita belum berkahwin serta warga emas yang tidak larat untuk ke hospital atau membeli-belah dengan menjadi peneman mereka.
“Khidmat ini adalah bagi membantu golongan itu supaya tidak berasa keseorangan selain memudahkan urusan seharian mereka.
“Saya amat berharap akan lebih ramai mengetahui mengenai perkhidmatan ini dan mengenali saya terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan sekitar Cheras,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd





