Muhyiddin pengasas PN? Bukan, tahyul! Hanya mahu ‘claim credit’ – Wan Saiful

Muhyiddin pengasas PN? Bukan, tahyul! Hanya mahu ‘claim credit’ – Wan Saiful


Dakwaan bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan pengasas Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai tidak tepat dan cubaan untuk memesongkan fakta sebenar sejarah penubuhan gabungan politik tersebut.

Bekas Ketua Penerangan Bersatu yang juga Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PN tidak ditubuhkan hasil usaha seorang individu semata-mata, sebaliknya lahir menerusi penglibatan beberapa pemimpin daripada parti-parti komponen yang terlibat ketika itu.

Menurut beliau, mesyuarat yang membawa kepada penubuhan PN pada 29 Julai 2020 turut dihadiri wakil daripada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan MIC.

“Mendakwa bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pengasas Perikatan Nasional adalah tahyul yang perlu dihapuskan.
“Ini hanya hujah daripada mereka yang cuba memesongkan fakta sebenar sejarah penubuhan PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Saiful berkata, dakwaan bahawa PN lahir daripada tangan seorang individu adalah tidak berasas memandangkan mesyuarat penubuhan gabungan itu melibatkan 12 pemimpin daripada beberapa parti.

“Jelas sekali bahawa yang hadir dalam mesyuarat yang akhirnya melahirkan PN adalah 12 orang yang merangkumi parti Pas, Bersatu, Gerakan dan MIC.
“Nyata bahawa PN bukan lahir dari tangan seorang individu yang sedang cuba didewakan oleh Bersatu sahaja,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa idea asal penubuhan PN termasuk nama gabungan tersebut tidak melibatkan Muhyiddin.

Menurutnya, terdapat tiga individu yang memainkan peranan penting dalam mencetuskan cadangan penubuhan PN, termasuk seorang daripadanya yang menandatangani surat kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu.

Katanya, surat berkenaan merupakan kali pertama idea penubuhan dan nama PN dizahirkan secara rasmi.

“Mungkin ada yang mahu mengatakan bahawa Muhyiddin yang memberi idea penubuhan PN. Sekali lagi, ini pun tahyul.
“Idea asal penubuhan PN, serta asal usul terciptanya nama PN, langsung tidak melibatkan Muhyiddin,”ujar beliau.

Wan Saiful turut mendakwa seorang lagi individu telah menulis surat setebal 38 muka surat kepada Dr. Mahathir bagi mengemukakan cadangan penubuhan gabungan tersebut.

Selain itu, beliau berkata dua individu lain turut terlibat dalam mereka bentuk logo PN yang masih digunakan sehingga kini.

Menurutnya, Muhyiddin pernah mencadangkan penggunaan imej pokok sebagai logo gabungan itu, namun cadangan berkenaan tidak diterima.

“Selepas itu Muhyiddin ada bagi cadangan gambar pokok untuk jadi logo. Tapi cadangan itu ditolak. Yang diterima ialah cadangan yang diangkat oleh orang kelima dan orang keenam ini,” katanya.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata beliau belum bersedia mendedahkan identiti enam individu yang didakwa terlibat dalam proses awal penubuhan PN kerana belum memperoleh kebenaran daripada mereka.

“Saya sengaja tidak mahu sebut nama enam orang ini sebab saya belum minta kebenaran daripada mereka. Saya harap mereka sendiri akan tampil mematikan tahyul yang cuba dibawa oleh Bersatu ini,”tambah Wan Saiful.

Artikel lain: “Kami amat kecewa…”- Banyak kali tegur Muhyiddin, 13 ahli BERSATU desak parti keluar PN

Beliau turut mendakwa Muhyiddin hanya terlibat pada peringkat kemudian dalam proses berkenaan, namun kini dikaitkan sebagai tokoh utama di sebalik penubuhan gabungan tersebut.

“Kalau orang yang menandatangani surat 38 muka surat itu boleh dedahkan kandungan surat tersebut lagi baik.
“Biar semua orang tahu bahawa Muhyiddin hanya datang kemudian, tapi langsung tak malu nak ‘claim credit’,” katanya.

Sumber: FB Wan Saiful Wan Jan





Source link

OR

Scroll to Top