Pelancong Malaysia dinasihat tidak kunjung perkampungan nelayan Thailand

Pelancong Malaysia dinasihat tidak kunjung perkampungan nelayan Thailand


Kota Bharu: Polis Narathiwat menasihati rakyat Malaysia yang melancong ke selatan Thailand supaya tidak berkunjung ke perkampungan nelayan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas dadah.

Ketua Polis Narathiwat, Kolonel Pratya Baite hari ini berkata, pengedar dadah di wilayah itu biasanya akan memilih perkampungan nelayan untuk membina sarang mereka.

“Kami mendapat maklumat bahawa pengedar dadah di wilayah ini akan menggunakan kampung-kampung ini sebagai tempat mengumpul dan menjual dadah kepada pengedar tempatan.

“Oleh itu, polis Narathiwat akan melakukan operasi berkala di kampung-kampung ini untuk menangkap mereka yang terlibat. Operasi akan dijalankan sepanjang masa dan setakat ini, ia berjaya,” katanya kepada NST.

Justeru, beliau menasihatkan pelancong Malaysia supaya tidak sesekali bertandang ke perkampungan nelayan bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Pratya berkata, pil yaba dan heroin masih menjadi dadah paling popular yang dicari oleh pengedar Malaysia di Thailand.

Beliau berkata, ini berdasarkan maklumat pembekal dadah Thailand yang ditahan pihak berkuasa.

“Sejak dua tahun lalu, polis daerah tidak menahan mana-mana pengedar dadah warga Malaysia, bagaimanapun, kami menahan ramai pengedar warga Thailand yang mengatakan kedua-dua jenis dadah ini popular dalam kalangan pengedar warga Malaysia.

Pusher Malaysia biasanya akan membeli dadah daripada pengedar Thailand yang berhampiran sempadan, seperti dari daerah kecil Sungai Golok,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top