Barisan pemain yang membawa cabaran negara di BAMTC 2025.
SKUAD badminton negara tidak boleh memandang sebelah mata saingan yang bakal diberikan Hong Kong dalam aksi sulung Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025 di China pada Rabu.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan perlawanan pertama sangat penting buat pasukan negara untuk melakar keputusan positif.
Malah beliau juga sedar, ia bukan pertembungan yang mudah, namun percaya para pemain sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik.
“Kita perlu fokus kepada diri sendiri. Bagaimana untuk memotivasi pasukan untuk berdepan Hong Kong dan Indonesia,” katanya.
BAMTC berlangsung di Qingdao dengan Hong Kong menjadi ujian pertama Malaysia yang membariskan skuad muda meningkat naik.
Rexy juga mengingatkan para pemain untuk berwaspada dengan tentangan sengit yang bakal diberikan Hong Kong kerana pasukan itu memiliki pemain berwibawa.
“Hong Kong memang agak bagus dalam acara perseorangan (lelaki) dan untuk perseorangan wanita, kita boleh cakap (peluang) 50-50.
“Namun untuk beregu lelaki tidak boleh terlalu yakin sebaliknya pemain perlu berikan yang terbaik,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia sudah pun layak ke Piala Sudirman 2025 di Xiamen, China bermula 27 April hingga 5 Mei depan berdasarkan kedudukan ranking kelima dunia.
Berdasarkan pemain yang dibariskan, Hong Kong mempunyai kekuatan pada perseorangan lelaki apabila Angus Ng Ka Long yang berada di ranking ke-20 dunia dan Lee Cheuk Yiu (21) berada dalam skuad itu.
Malah untuk acara beregu wanita pula, Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam yang berada di kedudukan ke-13 dunia juga bakal memberi sedikit kelebihan buat mereka.