Sugumaran laung lima teras pembangunan bola sepak negara

Sugumaran laung lima teras pembangunan bola sepak negara


KONGRES Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang akan berlangsung pada Sabtu ini menyaksikan Datuk PS Sugumaran, calon bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco), mengemukakan lima manifesto bagi memajukan bola sepak negara.

Sugumaran berpengalaman lebih 14 tahun berkhidmat di Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), yakin mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan sekiranya diberi mandat perwakilan.

Lima manifesto utama digariskan Sugumaran merangkumi aspek-aspek penting dalam ekosistem bola sepak negara iaitu memperkukuhkan infrastruktur akar umbi dengan menyediakan kemudahan latihan dan pertandingan yang berkualiti di seluruh negara, merangkumi peringkat sekolah rendah hingga menengah.

“Ini bertujuan memastikan bakat-bakat muda mendapat akses kepada fasiliti yang terbaik bagi mengembangkan potensi mereka,” katanya.

Selain itu, Sugumaran mahu meningkatkan kualiti jurulatih dengan program latihan berterusan untuk jurulatih akar umbi akan menjadi fokus utama.

“Saya percaya jurulatih yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi adalah kunci kepada pembangunan pemain muda yang berkualiti,” katanya.

Sugumaran juga melihat penganjuran lebih banyak pertandingan juga penting dalam memajukan pembangunan akar umbi.

“Saya merancang untuk meningkatkan jumlah pertandingan di peringkat akar umbi, dari daerah hingga kebangsaan.

“Langkah ini dijangka dapat mencungkil lebih banyak bakat baharu dan memberi peluang kepada pemain muda untuk bersaing dan meningkatkan kemahiran mereka,” katanya.

Selain itu, tumpuan juga diberikan kepada membangunkan bola sepak wanita dan orang kurang upaya (OKU).

“Pembangunan bola sepak wanita dan OKU turut menjadi agenda penting, dan saya berhasrat untuk menganjurkan kejohanan dan pertandingan yang khusus untuk mereka.

“Ini bagi memastikan semua lapisan anggota masyarakat mempunyai peluang untuk terlibat dalam sukan ini,” katanya.

Sugumaran juga percaya penglibatan komuniti dan ibu bapa juga elemen penting dalam menyokong kemajuan pemain muda.

“Saya akan menggalakkan penglibatan mereka secara langsung dan tidak langsung dalam pelbagai aktiviti bola sepak,” katanya.

Jelas Sugumaran lagi pengalaman sebagai sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan (FAS) selama empat tahun banyak membantunya lebih dekat dengan pembangunan akar umbi.

“Tahun lalu, kami berjaya menganjurkan lebih 1,600 perlawanan dan untuk tahun ini, sasaran kami adalah 1,800 perlawanan.

“Jika saya diberi tanggungjawab di FAM, saya akan memanfaatkan pengalaman ini untuk memastikan pengurusan pertandingan yang lebih sistematik dan berjaya di peringkat nasional,” kata Sugumaran.

Sugumaran juga menekankan ingin melihat lebih banyak liga kecil dan pertandingan di peringkat akar umbi diwujudkan bagi melahirkan lebih ramai pengadil dan pemain yang berkualiti.

Rekod beliau yang berjaya mengendalikan lebih 1,664 perlawanan dari pelbagai kategori pada tahun lalu membuktikan kecekapan dan kemahirannya dalam pengurusan pertandingan.

Selain itu, Sugumaran juga pernah memegang beberapa jawatan penting lain dalam FAS, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan.



Source link

OR

Scroll to Top