Los Angeles: Bintang Argentina, Lionel Messi kekal sebagai pemain dengan gaji tertinggi dalam Major League Soccer (MLS) apabila menerima gaji asas tahunan AS$25 juta (RM98.3 juta), lebih dua kali ganda berbanding pemain kedua tertinggi, Son Heung-min.
Persatuan Pemain MLS dalam senarai terbaharu gaji pemain, hari ini memaklumkan angka itu mengambil kira kontrak lanjutan ditandatangani Messi bersama Inter Miami pada Oktober lalu yang akan mengekalkannya bersama kelab Florida itu hingga musim 2028.
Menurut laporan berkenaan, gaji asas Messi meningkat dua kali ganda manakala keseluruhan kontraknya menyaksikan dia menerima pampasan terjamin sebanyak AS$28.3 juta (RM111.3 juta).
Son yang juga bekas kapten Tottenham Hotspur dan menyertai Los Angeles FC Ogos lalu menerusi yuran perpindahan rekod MLS bernilai AS$26 juta (RM102.3juta), menerima gaji asas AS$10.36 juta (RM48.9 juta) serta pampasan keseluruhan AS$11.2 juta (RM40.75 juta).
Jumlah gaji itu tidak termasuk pendapatan hasil tajaan komersial manakala pampasan Messi juga tidak mengambil kira opsyen pemilikan saham dalam francais Florida itu yang dimiliki bersama legenda England, David Beckham.
Messi, 38, yang dijangka mengetuai Argentina mempertahankan kejuaraan Piala Dunia bulan depan, sudah meledak 59 gol dalam 64 perlawanan liga bersama Miami.
Dia turut muncul penjaring terbanyak MLS musim lalu dengan 29 gol selain dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) buat musim kedua berturut-turut.
Rakan sepasukan Messi di Inter Miami dan Argentina, Rodrigo De Paul berada di tangga ketiga dengan pampasan terjamin AS$9.7 juta (RM38.15 juta).
Pemain Mexico, Hirving Lozano pula berada di tangga keempat dengan AS$9.3 juta (RM36.58 juta) walaupun belum beraksi bersama San Diego FC sejak November lalu.
Pemain Atlanta United, Miguel Almiron melengkapkan senarai lima teratas dengan pampasan keseluruhan AS$7.9 juta (RM31.1 juta).
Secara keseluruhan, jumlah pampasan liga disenaraikan sebanyak AS$631 juta (RM2.5 bilion) dengan purata pampasan terjamin setiap pemain adalah AS$688,816 (RM2.7 juta), meningkat 8.9 peratus berbanding angka diumumkan Oktober lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd





