Madrid: Jude Bellingham dari Real Madrid dikenakan penggantungan dua perlawanan La Liga oleh jawatankuasa disiplin persatuan bola sepak Sepanyol selepas dia dibuang padang kerana bertindak kurang ajar.
Pemain antarabangsa England itu dibuang padang oleh pengadil Jose Munuera Montero ketika keputusan seri 1-1 pasukannya menentang Osasuna Sabtu lalu.
Bellingham menegaskan dia hanya meluahkan rasa kecewa dan bukannya menghina pengadil, akan terlepas perlawanan liga menentang Girona pada 23 Februari dan Real Betis pada 2 Mac.
Jawatankuasa disiplin berkata, usaha Madrid mengatakan bahawa Bellingham tidak menghina pengadil adalah “tidak mencukupi” untuk menghapuskan laporan pengadil.
Bellingham berkata penggantungannya adalah akibat salah faham.
“Saya rasa anda boleh melihat dengan jelas dalam video, saya ingat kejadian itu dengan sangat baik, ia adalah luahan (yang saya katakan) kepada diri saya sendiri,” kata pemain berusia 21 tahun itu.
“Saya tidak tujukan kepada pengadil, tetapi jelas ada salah faham. Dia percaya saya mengatakan (sesuatu yang menghina) kepadanya.”
Sumber dari Real Madrid memberitahu AFP bahawa kelab itu akan merayu keputusan itu.
Pengadil Munuera Montero menerima penghinaan dan ancaman dalam talian sejak membuang padang Bellingham, yang mana persatuan bola sepak menggambarkannya sebagai “menjijikkan.”
Real Madrid menyerang mutu pengadilan Sepanyol dalam beberapa minggu terakhir, menyebutnya sebagai “ditipu” dalam surat yang dihantar kepada persatuan dan diterbitkan di laman web mereka.
Los Blancos tidak memenangi tiga perlawanan liga terakhir mereka dan pesaing mereka, Barcelona, kini memimpin carta berdasarkan perbezaan gol.
© New Straits Times Press (M) Bhd