harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yag terlibat dengan kes salah laku termasuk keganasan membabitkan pegawai atau anggota tentera.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau amat dukacita dengan insiden terbaharu yang membawa kepada pemergian anggota Tentera Darat (TDM), Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi.
“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang amat sukar ini. Sama-sama kita doakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
“Kementerian Pertahanan memandang serius insiden ini. Sebarang bentuk keganasan, salah laku atau pelanggaran disiplin tidak mencerminkan nilai, integriti serta profesionalisme yang dijunjung oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat. Kes ini kini dalam proses perundangan dan akan ditentukan sepenuhnya oleh mahkamah mengikut lunas undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kerajaan akan memastikan keadilan ditegakkan sepenuhnya bagi semua pihak terbabit dan sudah mengarahkan ATM supaya mengambil langkah pencegahan agar insiden seperti itu tidak berulang.
Sementara itu Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman ketika dihubungi memberi jaminan bahawa kes berkenaan akan dilengkapkan secepat mungkin.
Katanya, proses bedah siasat akan dijalankan hari ini dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya sejurus kertas siasatan dilengkapkan bagi menanti arahan seterusnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






