NOR AINNA HAMZAH/pix
[email protected]
REMBAU: Konflik yang berlaku di Myanmar sudah menjangkaui sempadan negara-negara jiran menyaksikan blok ASEAN ‘terpaksa’ mencampuri hal ehwal yang berlaku di negara itu bagi menghentikan krisis yang berlaku.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, konflik Myanmar dan sindiket pemerdagangan manusia menjadi antara tajuk penting dalam mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN di Langkawi, bulan lalu.
“Walaupun piagam ASEAN mengatakan kita tidak akan mencampuri hal ehwal negara masing-masing tetapi isu dalaman di Myanmar ini sudah melangkaui sempadan.
“Ia sudah menjadi jenayah rentas sempadan, sudah ada sindiket pemerdagangan manusia, penipuan, jenayah siber, dadah yang secara tidak langsung menimbulkan masalah kepada negara-negara jiran khususnya di Malaysia.
“Kita (sendiri) terpaksa menerima kedatangan orang Rohingya yang lari untuk berlindung di negara kita melebihi 200,000 orang. Jadi ini bukan kita nak campur tangan dalam hal ehwal negara rakan tapi dah jadi masalah kepada negara ASEAN,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sumbangan kepada seluruh Masjid dan Surau Parlimen Rembau, di Dewan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau, di sini, hari ini.
Sempena majlis berkenaan, sebanyak 42 masjid dan 139 surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong dan Kota menerima sumbangan bernilai keseluruhan RM490,500 daripada Ahli Parlimen Rembau itu sempena aktiviti mengimarahkan masjid bulan Ramadan.
Mohamad berkata, ASEAN juga berharap agar penghantaran bantuan kemanusian di tempat memerlukan di Myanmar dapat sampai tanpa sebarang halangan daripada mana-mana pihak berkepentingan di sana.
“Kita banyak hantar bantuan ke sana, tapi bantuan itu tak sampai, pihak berkepentingan bertelagah. Itu hal mereka tapi yang menjadi mangsa rakyat mereka.
“Kita tak mahu itu berlaku dan jika boleh kita nak keamanan di Myanmar ni dapat dikembalikan semula, kemudian barulah boleh runding duduk semeja untuk adakan pilihan raya.
“Terpulang kepada mereka sama ada nak tubuh secara gabungan atau tidak itu terpulang, tapi kepentingan ASEAN adalah untuk melihat krisis kemanusian di Myanmar dapat dihentikan.
Dalam pada itu, ketika berkongsikan mengenai status pemerdagangan manusia di sempadan Myanmar dan Thailand, Mohamed memberitahu Malaysia telah bekerjasama dengan Kerajaan Thailand.
“Alhamdulillah 15 orang telah pulang hari ini dengan semua selamat, ada 22 orang lagi dalam proses dibawa pulang. Kita berterima kasih kepada kerajaan Thailand dan China yang telah bekerjasama memastikan scammer dan pemerdagangan manusia ditangani secara berkesan.
“Kita juga pastikan rakyat yang terlibat, diproses (disaring) dulu sebelum dibawa pulang ke negara,” katanya.