SKUAD ragbi 15 sebelah (15s) negara sedang meninjau khidmat pemain naturalisasi dalam pembentukan pasukan sebelum berdepan Sri Lanka saingan playoff Kejuaraan Ragbi Asia 2025.
Malah pengendali skuad Bunga Raya 15s negara, Mohd Saizul Hafifi Md Noor, pihaknya sememangnya mengharapkan dapat menggunakan pemain naturalisasi untuk skuad Bunga Raya kali ini.
“Cabaran buat kita apabila sejak dua tahun lalu, kita tiada kelibat pemain naturalisasi dibawa masuk pasukan dalam saingan domestik.
“Biarpun begitu kita masih ada pemain naturalisasi bermain di luar negara yang telah layak bermain untuk Malaysia.
“Dan kita dengan kerjasama MRU (Kesatuan Ragbi Malaysia) sedang memantau prestasi semasa agar mereka sudah bersedia apabila dipanggil menyertai skuad kebangsaan,” katanya.
Bagi tujuan memantapkan persiapan, Saizul Hafifi berkata, empat siri kem latihan kebangsaan akan diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula Isnin hingga 28 Februari.
“Kita juga akan lihat semula kepada pemain-pemain skuad Bunga Raya 15s sebelum ini.
“Selain akan lihat kepada perkembangan terkini pemain muda yang beraksi dalam Kejuaraan Piala Agong dan Liga Ragbi Korporat,” katanya