Berlin: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Thomas Bach akan meletakkan jawatan selepas menyerahkan tugas kepada penggantinya pada Jun depan, kata IOC semalam.
Bach, bekas juara sukan lawan pedang Olimpik 1976 akan meletakkan jawatan selepas 12 tahun memegang jawatan tersebut.
Beliau akan menyerahkan tugas pada 23 Jun kepada presiden baru yang akan dipilih pada 20 Mac.
“Jawatankuasa Eksekutif IOC hari ini bersetuju untuk menerima peletakan jawatan Presiden IOC Thomas Bach sebagai anggota IOC, berkuat kuasa selepas 23 Jun 2025,” kata kenyataan itu.
Bach, yang berusia 71 tahun, boleh terus memegang jawatan sebagai ahli sehingga usia 80 tahun selepas menyertai IOC pada 1991.
Terdapat tujuh calon untuk menggantikan Bach pada pemilihan 20 Mac di sesi IOC di Greece. Mereka ialah ketua Olahraga Dunia Sebastian Coe, juara renang Olimpik Kirsty Coventry, yang juga Menteri Sukan Zimbabwe serta Juan Antonio Samaranch dari Sepanyol, anak kepada bekas Presiden IOCl.
Ketua berbasikal antarabangsa David Lappartient, Putera Feisal Al Hussein dari Jordan, ketua Persekutuan Gimnastik Antarabangsa Morinari Watanabe dan jutawan Johan Eliasch, yang mengetuai Persekutuan Ski Antarabangsa, melengkapkan senarai calon.
© New Straits Times Press (M) Bhd