PEMAIN hoki muda negara, Adam Asyraf Johari bertekad membuktikan ‘bisa’ sebenarnya selepas dipanggil menyertai semula skuad senior kebangsaan.
Adam sebelum ini pernah menyertai pasukan senior, namun digugurkan sebelum Piala Sultan Azlan Shah pada Mei tahun lalu.
Adam optimis kecergasan dan kemahirannya akan menjadi aset utama untuk memikat hati jurulatih. Foto: JOHOR HA
Pemain yang berasal dari Tumpat, Kelantan itu menanam azam untuk memperagakan aksi terbaik dalam sesi pemilihan yang di jadual bermula bulan depan.
“Saya sangat gembira kerana mendapat panggilan semula. Ini memang impian saya dan tidak akan mensia-siakan peluang ini untuk menunjukkan bakat saya,” katanya.
Jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh pada Rabu mengumumkan 30 pemain yang akan menyertai latihan bermula 3 Mac ini pada sebelah malam sempena Ramadan.
Justeru bagi memastikan tempatnya dalam skuad kebangsaan, Adam optimis kecergasan dan kemahirannya akan menjadi aset utama untuk memikat hati jurulatih.
“Saya akan terus bekerja keras dan tidak akan berputus asa untuk memastikan tempat dalam skuad senior,” kata pemain Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu.
Speedy Tigers dijadual beraksi dua perlawanan persahabatan menentang Western Australia diikuti empat perlawanan menentang Australia di Perth bermula 20 April hingga 2 Mei.
Malaysia kemudian akan beraksi dalam Piala Negara-Negara dari 15 hingga 21 Jun sebelum menjalani latihan selama enam hingga lapan minggu sebagai persiapan untuk ke Piala Asia di India.
Skuad hoki lelaki kebangsaan akan turut menyertai dua kejohanan lain iaitu Piala Sultan Azlan Shah dari 22 hingga 29 November dan Sukan SEA Thailand dari 9 hingga 20 Disember ini.
Skuad senior akan dihantar ke Sukan SEA kerana pasukan junior akan beraksi di Piala Dunia yang berlangsung pada bulan yang sama.