Pencalonan Sinner di Anugerah Laureus ditarik balik

Pencalonan Sinner di Anugerah Laureus ditarik balik


Madrid: Akademi Laureus menarik balik pencalonan pemain tenis nombor satu dunia, Jannik Sinner, bagi Anugerah Atlet Lelaki Terbaik Dunia tahunan, susulan penggantungan doping selama tiga bulan yang diterimanya.

Sinner, yang menerima penggantungan itu awal bulan ini, didapati positif bagi bahan anabolik clostebol yang dikatakan masuk ke dalam sistemnya melalui urutan dan terapi sukan.

Penggantungan ini akan berakhir pada 4 Mei.

“Kami mengikuti kes ini, keputusan badan global yang berkenaan dan – walaupun kami menyedari keadaan yang membebankan – kami merasakan penggantungan tiga bulan ini menjadikan pencalonan beliau tidak layak,” kata Pengerusi Akademi Laureus, Sean Fitzpatrick, dalam surat yang ditujukan kepada ahli panel pencalonan.

“Jannik dan pasukannya sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.”

Anugerah Sukan Dunia Laureus dianugerahkan sejak tahun 2000, dengan pencalonan dipilih oleh media global, menghargai pencapaian individu dan pasukan dalam sukan.

Pencalonan bagi anugerah tahun ini akan diumumkan pada 3 Mac di Madrid.

Sinner, yang mengekalkan gelaran Terbuka Australia bulan lalu, gagal dalam dua ujian doping pada Mac 2024 tetapi dibenarkan untuk terus bertanding sementara beliau merayu keputusan kesnya.

Ujian positif itu terbongkar beberapa hari sebelum Terbuka Amerika Syarikat, apabila sebuah tribunal bebas membebaskannya daripada sebarang kesalahan, menyebabkan kontroversi dalam kejohanan utama tahun berkenaan.

Beberapa pemain dan peminat mengkritik pegawai yang membenarkan Sinner untuk terus bermain meskipun ujian positif dan merasakan bahawa pemain Itali itu diberi layanan istimewa disebabkan status ranking tertingginya.

Pada September lalu, Agensi Anti-Doping Dunia (Wada) membuat rayuan kepada mahkamah tertinggi sukan (CAS) terhadap keputusan tribunal bebas yang membebaskan Sinner daripada sebarang kesalahan kerana didapati beliau tidak bertanggungjawab atau cuai atas kegagalan ujian berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top