Iskandar Puteri: Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi pembangunan Pusat Latihan Baharu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang merupakan satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem bola sepak profesional di negeri itu.
Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Raja Muda Johor Tunku Iskandar Tunku Ismail dan Tunku Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT Luis Garcia berkata pembangunan itu penting bagi melonjakkan standard dan kualiti permainan kelab ke tahap yang lebih tinggi, terutamanya selepas melakar kejayaan cemerlang di peringkat domestik dan Asia sebelum ini.
“Pembinaan fasiliti seperti ini mampu membawa JDT ke tahap seterusnya. Kami telah melalui musim menakjubkan, memecahkan pelbagai rekod dan bersaing dalam suku akhir ACLE menentang pasukan yang mempunyai bajet besar, namun untuk terus berkembang, pelaburan ini adalah perlu,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di sini hari ini.
Beliau berkata pusat latihan berpusat yang dibangunkan di kawasan seluas 15.78 hektar berhadapan SSI itu, apabila siap sepenuhnya dalam tempoh dua setengah hingga tiga tahun akan datang, bakal menjadi antara fasiliti latihan bola sepak paling moden di rantau Asia.
Katanya pembangunan mega itu mencerminkan visi dan komitmen berterusan Tunku Mahkota Ismail yang juga pemilik JDT, dalam memastikan kelab berkenaan terus berkembang sebagai sebuah entiti bola sepak profesional yang kompetitif di peringkat domestik dan antarabangsa.
Beliau berkata langkah itu juga dilihat sejajar dengan usaha memperkasakan pembangunan bakat muda tempatan serta meningkatkan standard infrastruktur sukan di Johor, sekali gus membuktikan komitmen JDT dalam menetapkan penanda aras baharu bagi landskap bola sepak Malaysia dan rantau Asia.
© New Straits Times Press (M) Bhd






