Juz 3: ‘Seni hikmah dalam memimpin’

Juz 3: ‘Seni hikmah dalam memimpin’


– Advertisement –

DALAM kepimpinan, hikmah merupakan anugerah terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya. Hikmah tidak hanya merangkumi ilmu, tetapi suatu kebijaksanaan dalam bertindak, menilai dan membuat keputusan yang tepat serta berlandaskan keadilan. 

Kepimpinan yang berteraskan hikmah akan sentiasa membawa kebaikan yang besar kepada sesebuah organisasi yang dipimpinnya serta membuahkan kesejahteraan kepada rakyatnya. Hikmah yang dimiliki menjadikannya seorang pemimpin yang mempunyai karisma yang hebat dan wawasan yang jelas.

Firman Allah SWT: 

– Advertisement –

‫يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ ‎﴿٢٦٩﴾

“Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (Al-Baqarah, Ayah 269) 

Di dalam tafsir al-Quran al-‘Azim, Ibnu Abbas RA menafsirkan maksud ‘hikmah dengan pengetahuan mengenai al-Quran’. Penafsiran ini dikuatkan lagi dengan tafsiran Syeikh Mutawalli Sya’rawi bahawa ‘hikmah adalah meletakkan sesuatu pada tempat yang bermanfaat – seolah-olah Allah SWT menyebut: setiap apa yang Aku perintahkan untuk dilaksanakan itu adalah hikmah  yang sebenar-benarnya.’

Kepimpinan yang berhikmah juga hendaklah melaksanakan wawasan Allah SWT sebagai matlamat tertinggi dengan memastikan syariat dan undang-undang-Nya diterjemahkan dalam pentadbiran di semua peringkat. Apa yang dilaksanakan ini adalah suatu usaha dan kesungguhan untuk menjadi seorang pemimpin yang adil. 

Oleh yang demikian, membentuk kepimpinan yang mempunyai seni hikmah hendaklah berusaha memahami, menghayati serta mendalami ilmu al-Quran. Kisah-kisah perjuangan para Nabi dan Rasul yang berhadapan dengan umatnya bukan sahaja memberi inspirasi dan ibrah tetapi mampu memberi keteguhan hati untuk meneruskan perjuangan. 

Antara mutiara kata almarhum Tuan Guru Tan Sri Dato’ Bentara Setia Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mantan Menteri Besar Kelantan – ‘Ilmu secupak, hikmah kena segantang’ sentiasa menjadi azimat kepada kami kepimpinan hari ini. 

DATO’ PANGLIMA PERANG USTAZ DATO’ MOHD NASSURUDDIN DAUD
Menteri Besar Kelantan
3 Ramadan 1446H – HARAKAHDAILY 5/3/2025

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!



Source link

OR

Scroll to Top