Arteta hormati United, sejarah jadi bukti

Arteta hormati United, sejarah jadi bukti


London: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, memuji semangat dan legasi Manchester United menjelang pertemuan mereka awal pagi Isnin ini sambil menekankan bahawa kemenangan 7-1 pasukannya di Liga Juara-Juara (UCL) menentang PSV Eindhoven memberi dorongan untuk mengekalkan momentum.

Pasukan Arteta berada di tangga kedua, ketinggalan 13 mata di belakang Liverpool dengan satu perlawanan kurang dalam kedudukan Liga Perdana (EPL) dan enam mata di hadapan Nottingham Forest di tempat ketiga.

Walaupun mereka mendahului United yang berada di tangga ke-14 dengan kelebihan 21 mata, Arteta tidak memandang rendah pasukan Ruben Amorim.

“Sejarah United bercakap untuk dirinya sendiri.

“Pemain-pemain yang mereka ada, kelab yang mereka wakili, ada legasi untuk mereka keluar dari situasi yang sukar dan mereka sentiasa menjadi lawan yang berbahaya, terutamanya ketika anda tidak menjangkakannya.”

“Melihat perlawanan terbaru mereka, anda boleh lihat semangat dalam skuad mereka. Mereka lebih daripada mampu untuk menunjukkan persembahan yang kuat dan mengalahkan anda pada hari itu,” kata Arteta.

Arteta berkata, bahawa Arsenal akan cuba untuk meneruskan momentum positif daripada kemenangan mengejut mereka ke atas PSV dalam pusingan pertama pertemuan 16 terakhir UCL.

“Apa yang berlaku ialah kami sangat berkesan di dalam kotak dan itu satu kekuatan, terutama dalam Liga Juara-Juara, sebab itu kami menang besar.

“Cara kami melakukannya melonjak keyakinan semua orang tetapi malangnya ia sudah berlalu. Sekarang tumpuan kepada apa yang kami lakukan hari ini, persiapan untuk esok dan cuba mengulangi persembahan hebat pada Ahad.

“Namun (menentang PSV) semuanya menjadi, dan itu amat membantu. Bagaimanapun setiap perlawanan tidak sama,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top