Polis terima satu lagi laporan terhadap doktor dikatakan berkelakuan tidak senonoh

Polis terima satu lagi laporan terhadap doktor dikatakan berkelakuan tidak senonoh


Georgetown: Polis menerima satu lagi laporan daripada seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa kepada seorang doktor perubatan sebuah hospital di sini, yang ditahan Khamis lalu kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh terhadap mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, ia menjadikan sehingga kini tiga laporan polis dibuat terhadap doktor lelaki berusia 43 tahun itu.

Beliau berkata, dalam laporan polis yang dibuat semalam, wanita itu mendakwa kejadian berlaku pada 9.15 malam 20 Februari lalu di hospital tempat doktor pakar itu bertugas.

“Menurut wanita itu, doktor berkenaan meminta dia ke hospital untuk mengambil laporan ujian darah sebelum memperdayanya, kononnya dia ada penyakit jantung dan memerlukan pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, wanita itu kemudiannya diminta berbogel dan berlari setempat, sebelum doktor berkenaan merakam perbuatan wanita tersebut menggunakan telefon bimbit.

Lee berkata, polis turut menemui rakaman video berkenaan di telefon bimbit doktor itu dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan jika terdapat rakaman lain yang dibuat oleh suspek.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki yang sudah berkahwin itu juga mengaku terbabit beberapa kes berkelakuan tidak senonoh terhadap beberapa mangsa lagi.

“Lelaki itu masih direman sehingga 10 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan pihak polis menahan reman lelaki itu pada 26 Februari lalu selepas menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung perbuatannya, namun dia dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac.

Dua hari lalu, polis menahan semula doktor berkenaan susulan laporan oleh seorang wanita berhubung kelakuan tidak senonoh lelaki itu di sebuah klinik swasta, yang didakwa berlaku pada 2023, dan dia kini direman hingga 10 Mac.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top