Dua loghat satu lagu

Dua loghat satu lagu



am@hmetro.com.my

BAGI merancakkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini, Ara Johari, 27, tampil dengan kelainan apabila mempertaruhkan lagu berentak tradisional berjudul Zapin Malam Raya.

Ara mengakui dirinya kerdil jika dibandingkan dengan lagu raya artis lain terutama dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang turut menampilkan lagu raya berentak zapin tahun ini.

Ara berkata, lagu itu dicipta Affan Mazlan bersama Syafiq Al Gambus.

“Saya hasilkan lagu raya tahun ini bukan mahu bersaing dengan artis lain, sebaliknya ikhlas mahu berkarya. Saya bersyukur jika ada yang suka, tapi jika sebaliknya pula, saya tidak boleh puaskan hati semua orang.

“Pada pandangan saya, lagu raya yang dihasilkan rakan artis tahun ini semuanya sedap kerana saya juga peminat Siti.

“Walaupun saya muncul dengan lagu raya baru, saya tetap sokong dan dengar lagu raya artis lain,” katanya.

Menurut penyanyi yang dikenali dengan lagu rock bernada tinggi itu, dia mengakui banyak menonton video nyanyian Siti untuk mendapat inspirasi menyanyikan lagu tradisional.

“Sebenarnya saya suka dengan lagu tradisional dan jiwa saya juga lagu Melayu. Betul, saya tidak pernah hasilkan lagu tradisional cuma kali ini saya mahu mencuba.

“Kalau tak berjaya dan orang kecam, tidak mengapa asalkan saya sudah mencubanya. Tapi, sepanjang proses hasilkan lagu raya ini, saya banyak belajar daripada lagu nyanyian Siti,” katanya.

Bercerita mengenai lagu Zapin Malam Raya, Ara berkata, ia turut menggabungkan loghat Negeri Sembilan dan Kelantan di samping bekerjasama dengan kumpulan pelawak dari Pantai Timur iaitu Trio Latah yang dianggotai Pok Jak, Jack dan Aiman Hashim.

“Lagu ini menceritakan mengenai suami yang teruja apabila tiba giliran balik raya di kampungnya.

“Saya mahu tampilkan keunikan dalam lagu ini dengan menggabungkan dua loghat negeri dalam satu lagu. Menariknya komposer lagu ini pun mahir dengan kedua-dua loghat berkenaan.

“Lagu raya begini beri aura mahu beraya. Lagi pun peminat tempatan sudah berbeza, mungkin mereka suka dengar lagu kita,” katanya.

Ditanya kerjasama dengan pelawak Trio Latah pula, kata Ara, dia memilih menampilkan mereka kerana mahu menampilkan keunikan pada lagu Zapin Malam Raya.

“Trio Latah ini pada asalnya adalah pelawak, tetapi mereka juga mempunyai suara yang sedap. Jadi, saya beritahu pengurus untuk tampilkan mereka dalam lagu raya terbaru ini.

“Lagu Zapin Malam Raya baru selesai proses rakaman dan dalam proses pembikinan muzik video,” katanya.

Lagu Zapin Malam Raya diedarkan Universal Music Malaysia dan boleh didengari di semua platform digital bermula 19 Mac ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top