PARIS: Hampir 70 peratus wilayah Perancis kini tertakluk kepada sekatan penggunaan air berikutan kemarau yang semakin memburuk di tengah-tengah gelombang haba berterusan, menurut kerajaan pada Isnin.
Siri gelombang haba sepanjang tiga bulan lalu yang memburukkan lagi keadaan kemarau telah memecahkan rekod suhu menyebabkan ribuan kematian susulan dan mencetuskan kebakaran hutan secara besar-besaran.
“Ketika Perancis mengalami kemarau yang sangat teruk, kesan perubahan iklim terus meningkatkan tekanan terhadap sumber air,” kata Kementerian Transisi Ekologi.
Ia menambah hampir 70 peratus wilayah Perancis tertakluk kepada sekatan penggunaan air.
Setakat 9 Ogos, sebahagian besar kawasan tanah besar Perancis termasuk Paris berada pada sekurang-kurangnya tahap amaran air pertama, manakala 67 daripada 101 wilayah pentadbiran di negara itu berada bawah amaran krisis tertinggi.
Di kawasan yang berada bawah amaran tertinggi, penggunaan air hanya diperuntukkan bagi tujuan keutamaan seperti perkhidmatan kesihatan, perlindungan awam, air minuman dan sanitasi.
Bagi tahap amaran yang lebih rendah, sekatan dikenakan ke atas aktiviti seperti menyiram taman dan kawasan hijau, mengisi kolam renang, membasuh kenderaan serta mengairi kawasan pertanian.
Sebagai tanda kemarau semakin teruk di seluruh Eropah, dua pertiga daripada sumber air bawah tanah yang membekalkan sebahagian besar air minuman di Perancis telah merosot ke paras bawah normal, kata Biro Penyelidikan Geologi dan Perlombongan (BRGM) negara itu pada Isnin.
Kemerosotan rizab air tanah adalah perkara biasa semasa musim panas.
Namun, ia amat ketara pada tahun ini disebabkan kekurangan hujan pada Julai serta peningkatan permintaan air bagi pelbagai tujuan terutamanya dalam sektor pertanian dan pelancongan, kata BRGM. – AGENSI
