KUALA LUMPUR – Seorang murid pra sekolah berusia 5 tahun maut dilanggar van di hadapan kediamannya di Jalan Suria, Bandar Seri Alama, Pasir Gudang, Johor apabila pemandunya tidak menyedari tentang keberadaannya.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supt. Mohd Sohaimi Ishak berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berlaku pada jam 11.35 pagi semasa pemandu van berumur 50 tahun daripada sekolah telah menurunkan kanak-kanak itu bersama abangnya yang berusia 6 tahun.
“Pemandu van meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa melepasi van melalui belakang van dan beranggapan mangsa turut mengikuti abangnya.
“Tiba tiba semasa bergerak ke hadapan pemandu van telah terlanggar mangsa yang melalui hadapan van tanpa disedari,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Sohaimi, akibat kemalangan tersebut mangsa cedera parah.
Tambah beliau, pemandu tersebut kemudian turun dari van untuk melihat mangsa dan memaklumkan kepada ibu mangsa dengan segera.
Jelasnya, ibu mangsa kemudian membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Masai untuk menerima rawatan namun kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Kesihatan klinik tersebut.
Menurut Mohd Sohaimi, kes disisat di Bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu melulu dan berbahaya.
Katanya tangkapan telah dibuat ke atas pemandu van terbabit untuk membantu siastan. – MalaysiaGazette