London: Liverpool akan kehilangan empat pemain ketika Arne Slot berusaha untuk memenangi trofi pertamanya, iaitu Piala Liga sejak menggantikan Jurgen Klopp pada musim panas lalu.
The Reds akan berdepan perlawanan yang sukar menentang Newcastle United di Wembley awal pagi Isnin ini, walaupun Eddie Howe turut berdepan situasi yang sama, kehilangan beberapa pemain utama.
Selepas terpaksa keluar akibat kecederaan buku lali ketika menentang PSG, Trent Alexander-Arnold akan terlepas final Piala Liga ini.
Pemain yang memakai jersi 66 Liverpool itu mungkin juga terpaksa berehat beberapa minggu.
Keadaan ini jelas akan menjejaskan The Reds, dengan Conor Bradley dan Joe Gomez juga dilaporkan terlepas aksi final itu.
Slot kekurangan pilihan di bahagian pertahanan, bermakna Jarell Quansah berkemungkinan perlu bermain di bahagian sayap, yang mana ia bukan kedudukan terbaiknya.
“Setiap pemain yang berada di bangku simpanan dan yang tidak bermula perlu cuba memberi impak,” kata Virgil van Dijk kepada wartawan ketika ditanya mengenai Quansah, yang mungkin akan mengisi posisi Alexander-Arnold di sebelah kanan.
“Saya tidak tahu apa sebenarnya kecederaan Alexander-Arnold itu.”
“Saya harap ia hanya kecederaan kecil dan jika sebaliknya, Jarell perlu bermain sebagai bek kanan, dia harus melakukannya dengan cara terbaik.
“Dia sudah menunjukkannya dalam beberapa minggu lalu bahawa dia boleh melakukannya,” van Dijk
Dalam perkembangan berlainan, Slot memaklumkan tiada apa yang perlu dibimbangkan mengenai Ibrahima Konate yang terpaksa dikeluarkan dan digantikan oleh Wataru Endo ketika menentang PSG, kerana ia hanya disebabkan keletihan.
Pemain pertahanan tengah Perancis itu sepatutnya tiada masalah untuk bermula menentang Newcastle, tetapi Slot akan memberikan perkembangan terkini situasi pemain itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd