Aminuddin tawar diri pertahan jawatan Naib Presiden PKR

Aminuddin tawar diri pertahan jawatan Naib Presiden PKR


SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyatakan pendiriannya untuk mempertahankan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dalam pemilihan parti itu, Mei ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan itu berkata, beliau pada masa sama juga mahu terus menyandang jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson yang telah dimenanginya pada pemilihan lalu.

“Hari ini saya telah selesai isi pencalonan untuk Ketua Cabang Port Dickson. Bagi (jawatan) sebagai Naib Presiden PKR) itu saya tunggu sampai bulan depan lah, tapi insya-Allah, saya rasa akan menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR kali ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di kediaman rasminya di sini hari ini.

Sebelum ini, dua orang penyandang jawatan Naib Presiden PKR iaitu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad juga telah menyatakan pendirian untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Ditanya mengenai peluangnya untuk mempertahankan jawatan itu, Aminuddin dalam pada itu berkata, pemilihan kali ini dilihatnya lebih sukar berbanding sebelum ini.

“Nak kata ada peluang tu agak sukar, ya kerana kita sedia maklum setelah kita menjadi sebuah Kerajaan pastinya ramai pimpinan akan tawarkan diri untuk bertanding di peringkat Naib Presiden. 

“Tetapi itu yang saya katakana, ia demokrasi yang harus kita raikan. Kalah menang adat pertarungan dalam keluarga besar. 

“Jadi kalau saya kalah pun saya kena akur dan kalau menang pun saya kena melihat rakan-rakan yang berjuang sama kerana mereka juga mempunyai potensi besar dalam parti,” katanya lagi.-UTUSAN.





Source link

OR

Scroll to Top