'Layak ke Liga Juara-Juara satu kejayaan besar' – Guardiola

'Layak ke Liga Juara-Juara satu kejayaan besar' – Guardiola


Manchester: Pep Guardiola menegaskan beliau tidak berasa kecewa kerana perlu berjuang untuk mendapatkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan, malah menganggapnya sebagai “kejayaan besar” dalam musim yang sukar bagi Manchester City.

Selepas memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) empat musim berturut-turut dan enam daripada tujuh musim terakhir, skuad kendalian Guardiola kini berada di tangga kelima dengan berbaki 10 perlawanan.

Kini, kedudukan kelima hampir pasti menjamin tiket ke Liga Juara-Juara musim depan berikutan prestasi cemerlang kelab-kelab Inggeris dalam saingan Eropah musim ini.

Namun, kedudukan City masih belum terjamin dengan lima kelab lain, termasuk Fulham di tempat ke-10, hanya dipisahkan lima mata daripada juara bertahan itu.

City juga gagal mengekalkan standard tinggi di bawah kendalian Guardiola musim ini, selepas tewas sembilan daripada 19 perlawanan liga terakhir mereka.

“Ia satu saingan yang sengit dan bukan sesuatu yang mengecewakan. Saya melihatnya sebagai cabaran kerana jika kami berjaya layak ke Liga Juara-Juara, ia akan menjadi satu kejayaan besar,” kata Guardiola menjelang perlawanan menentang Brighton di Etihad.

“Ada musim dalam hidup dan dalam sukan di mana anda perlu melaluinya.

“Semuanya masih dalam kawalan kami. Kami tidak perlu mengejar lapan atau sepuluh mata dan berharap pasukan lain kalah banyak perlawanan.

“Ia bergantung kepada kami, kepada sikap dan corak permainan kami, sama ada kami mampu berada di sana atau tidak,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top