najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon Puteri Sarah Liyana memberitahu keluarga bekas mentuanya agak sedih apabila dia tidak lagi dapat meluangkan masa bersama mereka seperti sebelum ini.
Menurut Puteri Sarah, sejak kebelakangan ini, dia sibuk dengan urusan kerja, menyebabkan masa untuk bersama bekas mentua semakin terhad.
“Mereka memahami situasi saya yang sibuk dengan kerja sekarang ini. Tapi dalam waktu sama, mereka sedih apabila saya tak dapat nak meluangkan masa seperti sebelum ini.
“Kalau dulu setiap tahun keluarga saya dan bekas mentua akan berbuka bersama-sama, tapi sekarang belum ada kesempatan itu lagi,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam masa sama, Puteri Sarah bersyukur dan gembira apabila hubungan bekas mentuanya dengan bekas suami yang juga pengatah terkenal Syamsul Yusof, kini semakin baik selepas melalui pelbagai konflik sebelum ini.
“Alhamdulillah semua sudah berbaik. Saya tumpang gembira melihat mereka dapat menyambut Aidilfitri bersama-sama tahun ini.
“Jujur saya tiada masalah untuk kami beraya sekali. Lagipun saya tidak bermusuh dengan dia (Syamsul), kami okey.
“Andai dia balik ke rumah keluarganya dan kebetulan saya ada di sana, saya okey untuk sambut raya macam biasa,” katanya.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam,7, dan Sumayyah, 5.
Bagaimanapun pasangan ini berpisah pada 14 Jun 2023.
Sebelum ini, media melaporkan hubungan Syamsul dan ibu bapanya iaitu Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah sudah kembali baik sejak penghujung tahun lalu.
Lebih istimewa, Syamsul dikatakan bercuti bersama keluarganya di Switzerland, pada awal tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd