Kuala Lumpur ( March 19, 2025) : Perjalanan ibadah umat Islam dalam bulan Ramadhan kini berada di kemuncaknya. Hal ini kerana, bulan Ramadhan kini berada di fasa terakhir iaitu fasa pembebasan dari api neraka. Setiap fasa di dalam bulan Ramadhan membawa peluang yang besar dan hikmah yang penting kepada umat Islam. Nabi Muhammad SAW bersabda, maknanya “Awal bulan Ramadhan adalah rahmat, pertengahannya adalah keampunan, dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka.”[HR al Baihaqi]. Hadis ini menjelaskan bahawa Allah SWT memuliakan bulan Ramadhan dengan 1001 kemuliaan. Ini kerana terdapat satu malam yang sangat istimewa iaitu malam Lailatul Qadar. Para ulama menjelaskan bahawa fasa pembebasan dari api neraka sangat berkait rapat dengan malam lailatul qadar. Lantasnya, apakah persediaan kita sebagai umat Islam untuk menghadapi fasa terakhir ini dengan tenang dan dapat membebaskan diri dari jeratan api neraka Allah SWT?
Fasa pembebasan dari api neraka ini memberi getaran dalam jiwa orang beriman dan membawa peluang yang besar sepanjang bulan Ramadhan. Ini disebabkan kerana, diantara 10 malam terakhir itu terdapat satu malam yang penuh berkah iaitu malam Lailatul Qadar yang menjanjikan ganjaran yang luas. Ia telah dijelaskan dalam surah al-Qadr, ayat 3, maknanya: “Malam al-qadr lebih baik daripada seribu bulan”. Para ulama telah mentafsirkan ayat tersebut bahawa ganjaran malam Lailatul Qadar itu lebih baik daripada 83 tahun atau lebih. Sehubungan dengan itu, terdapat pelbagai pandangan ulama dalam menentukan malam Lailatul Qadar dari segi berlaku pada malam ganjil, keadaan suasana yang tenang dan berlaku pada waktu istimewa seperti malam Jumaat. Oleh itu, sesiapa yang beribadah dan menghidupkan malam Lailatul Qadar akan memperolehi ganjaran besar sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT, malah mampu membebaskannya dari seksaan api neraka.
Selain itu, dalam fasa pembebasan api neraka ini juga terdapat satu malam yang istimewa dan menjadi satu peristiwa sangat bernilai bagi umat Islam iaitu malam penurunan al-Quran. Hal ini telah dirakamkan dalam surah al-Qadr ayat 1, maknanya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (lailatul qadar)”. Dalam ayat ini menunjukkan bahawa membaca al-Quran adalah satu keutamaan dalam mencapai keberkatan malam Lailatul Qadar kerana setiap huruf tersebut mengandungi ganjaran pahala tersendiri. Ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW, maknanya: “Barang siapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya satu kebaikan. Satu kebaikan itu dibalas dengan sepuluh kali lipatnya. Aku tidak mengatakan alif lam mim itu satu huruf, tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf, dan mim itu satu huruf.” [HR Tirmizi]. Jelaslah bahawa, seseorang yang membaca al-Quran akan mendapat ganjaran pahala sebanyak 10 kali ganda bagi setiap huruf bahkan dapat menghindarkan diri daripada segala maksiat yang membawa kepada seksaan api neraka Allah SWT.
Seterusnya, bulan Ramadhan juga dikenali sebagai bulan keampunan. Sebagai seorang hamba yang beriman, kita diwajibkan untuk sentiasa memohon ampun kepada Allah SWT agar meraih keredhaan Allah SWT di akhirat kelak. Hal tersebut berdasarkan keteladanan Nabi Muhammad SAW yang mengajar Saidatina Aisyah ketika berada di fasa terakhir ini untuk memperbanyakkan doa memohon ampun. Di dalam sebuah hadis dari Saidatina Aisyah berkata, “Wahai Rasulullah, apabila saya menjumpai malam Lailatul Qadar, bagaimana saya harus berdoa?” Rasulullah SAW menjawab, “Katakanlah Allahumma Innaka Affuwun Tuhibbul ‘Afwa Fa’fu ‘Anni (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan Engkau mencintai seorang pemaaf, maka ampunilah aku).” [HR Ahmad]. Terbuktilah bahawa, doa tersebut menunjukkan sifat tawaduk seorang hamba yang ingin memohon ampun daripada Tuhannya. Dengan itu, sifat memohon keampunan ini juga satu sifat yang dicintai oleh Allah SWT kerana ia menunjukkan seseorang hamba itu takut dengan ancaman api neraka Allah SWT dan mengharapkan pertolongannya.
Di samping itu, Bulan Ramadan adalah bulan di mana Nabi Muhammad SAW akan meningkatkan amalan dan ibadah baginda. Terutama sekali ketika memasuki 10 malam terakhir. Baginda juga mengajak ahli keluarga untuk turut serta dalam beribadah. Ini ternyata apabila Saidatina Aisyah meriwayatkan perlakuan Nabi saw ketika tiba 10 malam terakhir. Beliau berkata di dalam sebuah hadis, maksudnya: “Nabi saw apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadhan, Baginda akan mengetatkan kain, menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).” [HR al-Bukhari]. Dan dalam redaksi hadis lain yang bermaksud: ”Rasulullah saw bersungguh-sungguh pada 10 malam terakhir tidak seperti bulan-bulan yang lain.”[HR Muslim]. Hal ini menunjukkan bahawa, baginda mengambil berat dengan kedatangan fasa terakhir ini walaupun baginda adalah seorang yang maksum (terpelihara daripada dosa) Ini adalah satu teladan yang patut dicontohi dalam kehidupan kita sebagai seorang yang beriman ketika menyambut malam Lailatul Qadar agar terhindar dari seksaan api neraka Allah SWT.
Sebagai penutup, fasa terakhir ini adalah peluang keemasan bagi umat Islam untuk mengerjakan amal ibadat sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, sebagai seorang hamba mestilah mengisi masa atau menghidupkan malam dengan menguatkan ibadah dan meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadah. Misalnya, menghadirkan diri untuk solat tarawih di masjid dan melakukan iktikaf di masjid pada malam hari. Sebelum Ramadhan melabuhkan tirainya, kita hendaklah memanfaatkan 10 hari terakhir ini seolah-olah ia adalah Ramadhan terakhir kita kerana kita tidak tahu bahawa adakah kita ini merupakan tetamu bagi Ramadhan yang akan datang. Oleh yang demikian, peluang yang besar ini perlu dimanfaatkan oleh umat Islam untuk menggandakan amal ibadat dan amal saleh supaya beroleh objektif utama puasa, iaitu meraih malam lailatul qadar dan mendapat perlindungan Allah SWT dari seksaan api neraka.
Oleh: Muhammad Syafiq Bin Mohd Fuad
Mahasiswa Tahun Akhir, Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir.
Penulis dapat dihubungi di emel: muhammadsyafiqfuad@gmail.com