Soalan
Assalamualaikum wbt, saya mempunyai sejumlah bilangan solat fardu yang ditinggalkan bertahun-tahun sebelum ini. Saya mendapat tahu orang yang mempunyai solat qada tidak boleh melakukan solat sunat termasuk solat Tarawih namun, saya mendengar ceramah bahawa boleh mengantikan solat fardu dalam Solat Tarawih secara berjemaah. Adakah diperbolehkan menggantikan solat seperti ini?
Mohon pencerahan. sekian Terima kasih.
Ringkasan jawapan
i. Seseorang yang ada hutang solat fardu sama ada solat itu ditinggalkan disebabkan uzur syarie (terlupa atau tertidur) atau bukan uzur syarie (maksiat), maka dia wajib mengqadanya.
ii. Sah solat jemaah bagi orang yang solat qada mengikuti imam yang solat fardu begitu juga orang yang solat qada berimamkan orang yang solat sunat. Namun, dalam konteks qada solat fardu dalam solat sunat Tarawih seseorang hendaklah melihat kepada keadaan solat yang ditinggalkan tersebut:
- Solat yang ditinggalkan dengan sengaja tanpa uzur syar’i: seseorang wajib segera menggantikan solat qada terlebih dahulu sebelum melakukan ibadah-ibadah sunat yang lain, termasuklah solat sunat Tarawih.Hal ini kerana ibadah yang wajib adalah lebih utama dan didahulukan berbanding ibadah sunat dan selainnya. Oleh yang demikian dia disarankan agar mengerjakan solat qada di belakang imam yang mendirikan solat Tarawih agar mendapat ganjaran dan fadilat solat berjemaah.
- Solat yang ditinggalkan kerana uzur syar’i: sunat mengqada solat qada sesegera mungkin. Oleh itu, golongan ini diberi pilihan:
- Mengqada solat fardu sebelum atau selepas melaksanakan solat sunat Tarawih, atau
- Mengqada solat fardu di belakang imam yang mendirikan solat Tarawih secara berjemaah.
Huraian jawapan
Menggantikan solat atau qada bagi orang yang meninggalkan solat fardu adalah wajib ke atas setiap umat islam yang mukalaf sama ada solat fardu tersebut ditinggalkan secara sengaja atau tidak[1]. Jika seseorang pernah meninggalkan solat fardu maka dikira berhutang dan hutang ini sama sekali tidak akan gugur kecuali setelah ia dilangsaikan. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda[2]:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: Hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan. (Riwayat Bukhari & Muslim)
Malah, perbuatan mengantikan solat ini perlu disegerakan sama ada tertinggal kerana uzur syar’i ataupun tidak. Hal ini berdasarkan dengan keumuman hadis yang diriwayatkan daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda[3]:
مَنْ نَسِيَ صَلَاةً، فَلْيُصَلِّ إِذَا ذَكَرَهَا، لَا كَفَّارَةَ لَهَا إِلَّا ذَلِكَ
Maksudnya: Sesiapa yang lupa mengerjakan satu solat, maka hendaklah dia solat (sebagai ganti) apabila mengingatinya. Tiada kafarah bagi solat tersebut melainkannya (menggantikan solat tersebut). (Riwayat Bukhari)
Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ نَسِيَ صَلَاةً أَوْ نَامَ عَنْهَا، فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا
Maksudnya: Sesiapa yang terlupa menunaikan solat atau tertidur daripada mengerjakan solat, maka kafarahnya hendaklah ia menunaikan solat apabila ia mengingatinya. (Riwayat Muslim)
Ibn Hajr al-’Asqalani dalam menjelaskan hadis di atas, apabila diwajibkan kepada orang yang terlupa untuk melakukan qada, maka adalah lebih utama untuk orang yang meninggalkan solat fardu dengan sengaja menqada solatnya. Oleh itu, apabila solat tersebut ditinggalkan, ia menjadi satu hutang ke atas dirinya dan hutang ini sama sekali tidak akan gugur kecuali setelah ia dilangsaikan[4].
Bagi sesiapa yang meninggalkan solat dan tidak tahu bilangan solat yang ditinggalkan maka dia perlu berusaha sebaik mungkin mengingati bilangan solat yang ditinggalkan. Jika seseorang itu tidak dapat menentukan dengan pasti bilangan yang ditinggalkan, maka dia boleh menggunakan anggaran yang lebih mungkin atau hampir (غلبة الظن) menurut keyakinannya.
Hukum mengganti solat fardu dalam solat tarawih berjemaah
Secara umumnya menurut mazhab Syafi’i harus seseorang mengerjakan solat sunat dan solat fardu di belakang orang yang solat sunat dan solat fardu dalam fardu yang lain[5]. Hal ini juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi[6]:
وتصح قدوة المؤدي بالقاضي والمفترض بالمتنفل وفي الظهر بالعصر وبالعكوس
Maksudnya: sah mengikut imam orang yang mendirikan solat secara tunai dengan orang yang menqadakan solatnya, dan orang yang solat fardu dengan orang yang mengerjakan solat sunat, dan solat pada waktu zohor dengan mendirikan solat asar dan sebaliknya.
Oleh itu, dapat difahami meskipun terdapat perbezaan niat antara imam mengerjakan solat dan makmum, sah solat jemaah bagi orang yang solat qada dengan orang yang solat fardu begitu juga orang yang solat qada berimamkan orang yang solat sunat. Menurut Syeikh Hassan Bin Ahmad al-Kaf, perbuatan solat ini juga sah kerana menepati syarat sah solat berjemaah dari segi qudwah (mengikuti imam) dan terdapat persamaan pada perbuatan zahir solat antara makmum dan imam kecuali pada solat gerhana dan solat jenazah[7].
Keadaan menggantikan solat fardu
Walau bagaimanapun, dalam konteks mengganti solat fardu dalam solat Tarawih seseorang hendaklah melihat kepada keadaan menggantikan solat fardu. Dalam hal ini, para ulama mazhab Syafi’i memperincikan permasalahan bersegera menggantikan solat fardu ini kepada dua keadaan:
Pertama: Sekiranya seseorang meninggalkan solat dengan sengaja tanpa uzur syar’i seperti malas dan sebagainya maka wajib baginya untuk bersegera menqada solatnya walaupun yang tertinggal itu mengambil seluruh waktunya, kecuali waktu-waktu yang diwajibkan untuk memenuhi keperluan asasnya dan solat fardu pada waktunya[8]. Golongan ini tidak diharuskan untuk menyibukkan diri dengan solat-solat sunat sehingga selesai menggantikan solat yang ditinggalkan. Hal ini kerana ibadah yang wajib adalah lebih utama dan didahulukan berbanding ibadah sunat dan selainnya. Bahkan diharamkan golongan ini untuk solat sunat meskipun ibadah sunat tersebut sah[9].
Oleh itu, golongan ini perlu mengutamakan solat-solat qada berbanding melakukan solat-solat sunat termasuk solat sunat Tarawih iaitu masa atau tempoh solat sunat dilaksanakan sepatutnya diisi dengan qada solat fardu yang ditinggalkan. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Maksudnya: Hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.[10] (Riwayat al-Bukhari)
Kedua: Sekiranya seseorang meninggalkan solat kerana uzur syar’i seperti tertidur atau lupa dan sebagainya, maka dia disunatkan menyegerakan qada solat fardunya [11]
Dalam kategori ini, seseorang yang mempunyai baki solat yang belum diselesaikan boleh membuat pilihan dalam keluasan masa yang diberikan[12] untuk mengqada solat sebanyak mungkin (sebelum atau selepas solat Tarawih) dan melakukan solat Tarawih sama ada secara bersendirian atau mengikuti imam.
Seseorang yang mengqada solat fardu bersama imam yang mendirikan solat tarawih mereka juga memperoleh pahala solat berjemaah.[13] Berdasarkan keumuman hadis-hadis kelebihan solat berjemaah. Antara hadis daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda[14]:
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya: Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.
Oleh yang demikian, hal ini dilihat sebagai satu peluang yang baik terutama bagi mereka yang bermujahadah untuk menggantikan sejumlah solat fardu yang ditinggalkan secara sendirian dengan menyertai solat berjemaah sebagai satu jalan untuk melunaskan hutang solat sesegera mungkin dan dalam masa yang sama mendapat fadilat solat berjemaah.
Kesimpulan
i. Seseorang yang mempunyai hutang solat fardu sama ada solat itu ditinggalkan disebabkan uzur syarie (terlupa atau tertidur) atau bukan uzur syarie (maksiat), maka dia wajib mengqadanya.
ii. Sah solat jemaah bagi orang yang solat qada mengikuti imam yang solat fardu begitu juga orang yang solat qada berimamkan orang yang solat sunat. Namun, dalam konteks qada solat fardu dalam solat sunat Tarawih seseorang hendaklah melihat kepada keadaan solat yang ditinggalkan tersebut:
- Solat yang ditinggalkan dengan sengaja tanpa uzur syar’i: seseorang wajib segera menggantikan solat qada terlebih dahulu sebelum melakukan ibadah-ibadah sunat yang lain. Hal ini kerana ibadah yang wajib adalah lebih utama dan didahulukan berbanding ibadah sunat dan selainnya termasuk solat sunat Tarawih. Oleh yang demikian dia disarankan agar mengerjakan solat qada di belakang imam yang mendirikan solat Tarawih agar mendapat ganjaran dan fadilat solat berjemaah.
- Solat yang ditinggalkan kerana uzur syar’i: sunat mengqada solat qada sesegera mungkin. Oleh itu, golongan ini diberi pilihan:
- Mengqada solat fardu sebelum atau selepas melaksanakan solat sunat Tarawih, atau
- Mengqada solat fardu di belakang imam yang mendirikan solat Tarawih secara berjemaah.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
[1] Abu Zakariyya Muhyi al-Din bin Sharaf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab, (Amman, Jordan: Dar al-Fikr,1928), Jil. 3, hal. 71.
أَجْمَعَ الْعُلَمَاءُ الَّذِينَ يُعْتَدُّ بِهِمْ عَلَى أَنَّ مَنْ تَرَكَ صَلَاةً عَمْدًا لَزِمَهُ قضاؤها وخالفهم أبو محمد على ابن حزم فقالا لَا يَقْدِرُ عَلَى قَضَائِهَا أَبَدًا وَلَا يَصِحُّ فِعْلُهَا أَبَدًا قَالَ بَلْ يُكْثِرُ مِنْ فِعْلِ الْخَيْرِ وَصَلَاةِ التَّطَوُّعِ لِيَثْقُلَ مِيزَانُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَسْتَغْفِرُ اللَّهَ تَعَالَى وَيَتُوبُ وَهَذَا الَّذِي قَالَهُ مَعَ أَنَّهُ مُخَالِفٌ لِلْإِجْمَاعِ بَاطِلٌ مِنْ جِهَةِ الدَّلِيلِ وَبَسَطَ هُوَ الْكَلَامَ فِي الِاسْتِدْلَالِ لَهُ وَلَيْسَ فِيمَا ذَكَرَ دَلَالَةٌ أَصْلًا
وَمِمَّا يَدُلُّ عَلَى وُجُوبِ الْقَضَاءِ حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى الله عليه وَسَلَّمَ (أَمَرَ الْمُجَامِعَ فِي نَهَارِ رَمَضَانَ أَنْ يَصُومَ يَوْمًا مَعَ
الْكَفَّارَةِ أَيْ بَدَلَ الْيَوْمِ الَّذِي أَفْسَدَهُ بِالْجِمَاعِ عَمْدًا) رَوَاهُ الْبَيْهَقِيُّ بِإِسْنَادٍ جَيِّدٍ وَرَوَى أَبُو دَاوُد نَحْوَهُ وَلِأَنَّهُ إذَا وَجَبَ الْقَضَاءُ عَلَى التَّارِكِ نَاسِيًا فَالْعَامِدُ أَوْلَى
[2] Abū Abdullah Muhammad Bin Isma’il al-Bukhari al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, Peny. Mustafa Dib al-Bugha, (Damsyik, Syria: Dar Ibn Katsir, 1993), 2/90; Abu Husayn Muslim Bin Al-Hajjaj bin Muslim Al-Qushayri Al-Nisaburi, Sahih Muslim, (Maṭba’ah ‘Isa al-Babi al-Halabi, Beirut, Lubnan: 1955), 2/840.
[3] Al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Jil. 1, hal. 215; Muslim, Sahih Muslim, jil. 1, hal. 477
[4] Ahmad Bin Hajar al-’Asqalani, Fath al-Bari bi Sharh Sahih al-Bukhari, (Beirut, Lubnan: Dar al-Ma’rifah, 1959), Jil. 2, hal. 71.
إِنَّ إِثْمَ الْعَامِدِ بِإِخْرَاجِهِ الصَّلَاةَ عَنْ وَقْتِهَا بَاقٍ عَلَيْهِ وَلَوْ قَضَاهَا بِخِلَافِ النَّاسِي فَإِنَّهُ لَا إِثْمَ عَلَيْهِ مُطْلَقًا وَوُجُوبُ الْقَضَاءِ عَلَى الْعَامِدِ بِالْخِطَابِ الْأَوَّلِ لِأَنَّهُ قَدْ خُوطِبَ بِالصَّلَاةِ وَتَرَتَّبَتْ فِي ذِمَّتِهِ فَصَارَتْ دَيْنًا عَلَيْهِ وَالدَّيْنُ لَا يَسْقُطُ إِلَّا بِأَدَائِهِ
[5] al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzdzab, jil.4, hal. 271
فِي مَذَاهِبِ الْعُلَمَاءِ فِي اخْتِلَافِ نِيَّةِ الْإِمَامِ وَالْمَأْمُومِ: قَدْ ذَكَرْنَا أَنَّ مَذْهَبَنَا جَوَازُ صَلَاةِ الْمُتَنَفِّلِ وَالْمُفْتَرِضِ خَلْفَ مُتَنَفِّلٍ وَمُفْتَرِضٍ فِي فَرْضٍ آخَرَ وَحَكَاهُ ابْنُ الْمُنْذِرِ عَنْ طَاوُسٍ وَعَطَاءٍ وَالْأَوْزَاعِيِّ وَأَحْمَدَ وَأَبِي ثَوْرٍ وَسُلَيْمَانَ بْنِ حَرْبٍ: قَالَ وَبِهِ أَقُولُ وَهُوَ مَذْهَبُ دَاوُد وَقَالَتْ طَائِفَةٌ لَا يَجُوزُ نَفْلٌ خَلْفَ فَرْضٍ وَلَا فَرْضٌ خَلْفَ نَفْلٍ وَلَا خَلْفَ فَرْضٍ آخَرَ قَالَهُ الْحَسَنُ الْبَصْرِيُّ وَالزُّهْرِيُّ وَيَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ الْأَنْصَارِيُّ وَرَبِيعَةُ وَأَبُو قِلَابَةَ وَهُوَ رِوَايَةٌ عَنْ مَالِكٍ: وَقَالَ الثَّوْرِيُّ وَأَبُو حَنِيفَةَ لَا يجوز الفرض خلف نفل وَلَا فَرْضٍ آخَرَ وَيَجُوزُ النَّفَلُ خَلْفَ فَرْضٍ
[6] Abū Zakariyya Muhyi al-Din bin Sharaf al-Nawawi. Minhaj al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin fi al-Fiqh.(Amman, Jordan: Dār al-Fikr, 2005), hal. 42.
[7] Hassan Bin Ahmad al-Kāf, Al-Taqrīrāt al-Sadīdah fi Masā’il al-Mufīdah, (Jazirah: Dār al-Mirāth al-Nabawiyyah, 2022), jil.1, hal. 296.
أن يتوافَقَ نظم صلاتَيْهما ، أي : أن يَتَّقِقا في الأفعال الظاهرة وإن لم يتفقا في العدَدِ والنية ، فلا تَصِحُ مكتوبةٌ خلف جنازة أو كسوف(۱)، وتَصِحُ الظهر خلف العصر ، والمَغرِبُ خلفَ العِشاء، والقضاء خلف الأداء، والفرْضُ خلفَ النّفْل ، وكذلك عكسُ كُلِّ ذلك
[8] Sa’id Bin Muhammad Baa’li Bai’shan al-Da’ani al-Ribati, Busyra al-Karim bi Sharh Masa’il al-Ta’lim, (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2004), 179-180.
(وتجب المبادرة بالفائته إن فاتت بغير عذر)؛ تغليظاً عليه ويجب صرف جميع زمنه إليها، إلَاّ مالا بد منه في تحصيل مؤنة تلزمه، وفعل واجب آخر مضيق يخشى فوته، ونحو نوم وأكل، ولا يجوز له تنفل حتى يفرغ منها
[9] Abū Bakr Uthman Bin Muhammad Syaṭā al-Dimyati, I’anah al-Talibin ‘ala Hil alfaz Fath al-Mu’in (Ḍār al-Fikr: Beirut, 1997), Jil. 1, hal. 32
(قوله: وأنه يحرم عليه التطوع) أي مع صحته، خلافا للزركشي.
[10]al-Bukhari al-Ja’fi, Sahih al-Bukhari, Jil. 2, hal. 90; Muslim, Sahih Muslim, jil. 2, hal. 840
[11] Shamsuddīn Muhammad Bin Ahmad Al-Khatib Al-Shirbini, Mughni Al-Muhtaj ila Al-Maʿrifati Maʿani Al-Alfaz Al-Minhaj (Kaherah, Mesir: Dār Al-Kutub Al-Islamiyyah, 1994), jil.1, hal. 308.
نَدْبًا إنْ فَاتَهُ بِعُذْرٍ كَنَوْمٍ وَنِسْيَانٍ وَوُجُوبًا إنْ فَاتَهُ بِغَيْرِ عُذْرٍ عَلَى الْأَصَحِّ
[12] Syihabuddin Ahmad bin Hamzah al-Ansari al-Ramli, Fatawa al-Ramli,(Maktabah al-Islamiyyah: tt, t.t), Jil. 1, hal. 121
عَمَّنْ عَلَيْهِ صَلَوَاتٌ فَوَائِتُ، وَفِي عَزْمِهِ أَنْ يَشْتَغِلَ فِي رَمَضَانَ بِالنَّوَافِلِ كَالتَّرَاوِيحِ وَغَيْرِهَا وَلَمْ يَقْضِ مَا عَلَيْهِ مِنْ الْفَوَائِتِ إلَّا بَعْدَ رَمَضَانَ فَهَلْ يَأْثَمُ بِذَلِكَ لِكَوْنِهِ عَازِمًا عَلَى تَأْخِيرِ ذَلِكَ إلَى مَا قَالَ وَلَمْ يُسَارِعْ إلَى بَرَاءَةِ ذِمَّتِهِ وَهَلْ يَأْثَمُ الْقَائِلُ لَهُ اشْتَغِلْ فِي هَذِهِ اللَّيَالِي الشَّرِيفَةِ بِالنَّوَافِلِ كَالتَّرَاوِيحِ وَغَيْرِهَا ثُمَّ إلَى شَهْرِ شَوَّالٍ اقْضِ الْفَوَائِتَ الْمَذْكُورَةَ؟
(فَأَجَابَ) بِأَنَّهُ إنْ فَاتَتْهُ بِعُذْرٍ كَانَ لَهُ ذَلِكَ وَإِلَّا فَلَا؛ لِأَنَّ قَضَاءَهَا عَلَى الْفَوْرِ
[13] Nawawi bin Umar Al Jawi, Kasyifah Al Saja,(Dar Ibn Hazm: Beirut, Lubnan), hal. 342-343.
لكنه مكروه ومع ذلك تحصل فضيلة الجماعة. قال السويفي: والكراهة لا تنفي الفضيلة والثواب لاختلاف الجهة بل الحرمة لا تنفي الفضيلة كالصلاة في أرض مغصوبة
[14] Muslim, Sahih Muslim, jIl. 1, hal. 449 – HARAKAHDAILY 20/3/2025
(Artikel ini diambil daripada laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di ruangan Irsyad Hukum Edisi Khas Ramadan yang diterbitkan pada 20 Mac 2025.)
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!