ALLAH SWT sentiasa berulang-ulang kali memanggil kita di dalam Al-Quran tetapi sebahagian kita tidak mengendahkan panggilan itu. Setiap orang sibuk dengan panggilan nafsunya. Sibuk memenuhi keinginan jiwanya.
Allah SWT telah memanggil dengan panggilan istimewa khususnya untuk orang-orang yang beriman sahaja, selain itu kalian boleh tidak mendengarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” (Ali-Imran: 102)
Ketakwaan itu bukan sekadar diucap di bibir mulut tetapi sentiasa ingat Allah SWT dan tidak melupakan-Nya. Taat kepada-Nya dan tidak derhaka. Bersyukur di atas segala nikmat dan tidak kufur. Dan jangan kalian mati kecuali dalam Islam.
Pernahkah kita renung erti kehidupan? Apa bezanya kita dengan haiwan? Mengapa kita di dunia ini? Ramai yang masih keliru tentang tujuan hidup. Kita manusia, makhluk paling mulia. Jangan rendahkan darjat hingga hina. Hidup sekadar ikut nafsu, kenyangkan perut, atau penuhi keinginan sendiri. Jika itu aturan kehidupan yang kita pilih, maka kita tiada beza dengan binatang. Tiada beza! Jadi timbullah persoalan, apa yang membezakan kita makhluk yang mendakwa dirinya lebih mulia dari binatang?
Akal yang membezakan kita dengan binatang. Dengan akallah menjadikan hidup kita bertujuan dan dengan akallah kita tahu apa yang perlu kita lakukan.
Hakikatnya manusia mempunyai tujuan hidup tersendiri yang telah ditentukan Allah SWT. Selama ini kita sering mendengar dari ulama yang menjelaskan bahwa tujuan hidup manusia adalah untuk beribadah kepada Allah SWT sebagaimana ayat di bawah yang bermaksud:
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada-Ku.” (az-Dzaariat: 56)
Beribadah kepada Allah SWT bermaksud melaksanakan semua perintah Allah SWT dan meninggalkan semua larangan-Nya dengan bersungguh-sungguh. Allah SWT adalah Raja di bumi dan di langit ini. Sebagai para hamba kepada Allah SWT maka manusia seharusnya patuh dan taat mengikuti semua peraturan-peraturan Allah SWT bagaimana cara hidup dan bagaimana cara berkerja di dunia ini.
Ketika mula-mula Allah SWT menciptakan manusia, Allah SWT tidak meletakkan manusia di bumi ini. Allah SWT letakkan manusia di syurga. Allah SWT menganugerakan kepada Adam untuk menikmati segala apa sahaja makanan dan buah-buahan yang ada di syurga bersama isterinya Hawa tanpa ada rasa khuatir akan bahayanya. Tetapi Allah SWT telah menetapkan satu peraturan untuk mereka berdua seperti dalam firman Allah SWT di bawah.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim.” (Al-Baqarah: 35)
Di syurga, tiada lapar, bosan, atau kekurangan, hanya dipenuhi dengan nikmat yang tak terbayang. Namun, syaitan tetap gigih menggoda Nabi Adam dan Hawa tanpa henti, cuba memesongkan mereka dari ketaatan kepada Allah SWT. Dan ternyata akhirnya Nabi Adam berhasil digoda seperti yang difirmankan Allah SWT dalam ayat di bawah:
Syaitan membisikkan kepada Adam: “Mahukah aku tunjukkan pohon yang memberi hidup abadi dan kuasa yang takkan lenyap?” (Thaha: 120).
Siapa yang tidak mahu nikmat kekal? Tapi pohon itu dilarang. Kini, berapa banyak larangan Allah kita langgar kerana bisikan syaitan? Kita sudah diberi peringatan – Nabi Adam diturunkan dari syurga kerana satu dosa.
Saat Adam memakan buah itu, pakaiannya terlepas, begitu juga Hawa. Hanya satu dosa, tapi hukuman berat – keluar dari syurga, turun ke bumi.
Sedangkan kita? Berulang kali berdosa, namun masih tidak merasa bersalah. Kita bersembunyi, menyangka tiada siapa melihat, sedangkan Allah SWT Maha Melihat dan Maha Mengawasi.
Tanya siapa pun, “Mahukah kamu ke syurga?” Pasti semua menjawab “Mahu.” Tapi, realitinya? Kita berjalan di jalan yang tidak membawa ke sana.
Allah telah berpesan kepada Nabi Adam AS…
“Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati).” (Al-Baqarah: 36)
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” (Ali-Imran: 103)
Setiap makhluk akan mati. Tiada yang kekal, sebagaimana dusta syaitan kepada Nabi Adam di syurga dahulu. Dunia ini bukan tempat bersenang-lenang, ia adalah penjara bagi orang beriman. Jika kalian mencari kesenangan di dunia, sedarlah, kalian sedang berseronok di dalam penjara.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Turunlah kamu berdua dari Syurga, sebahagian kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain. Jika datang petunjuk-Ku, sesiapa yang mengikutinya tidak akan sesat dan tidak akan menderita.” (Thaha: 123)
Siapa yang memilih jalan hidayah tidak akan sesat. Dia akan sampai ke destinasi abadi, syurga. Allah SWT telah menurunkan kitab-kitab-Nya, dan akhirnya Al-Quran sebagai petunjuk. Malah, Allah SWT utus para nabi untuk menunjukkan jalan. Jika mahu ke syurga, inilah jalannya – ikuti dan amalkan. Jalan para Nabi, para siddiqin, para syuhada dan orang yang soleh.
Allah menurunkan Al-Quran untuk seluruh umat manusia. Siapa yang mengikutinya, tidak akan tersesat dan tidak akan sengsara. Sebaliknya, dia akan bahagia dan selamat.
Jadi, muhasabah diri: berapa banyak kita membaca, memahami, dan mengamalkan Al-Quran? Adakah kita membacanya setiap hari? Berapa banyak masa yang kita luangkan untuk kitab yang akan membawa kita ke syurga?
Yang paling utama, kita mesti yakin bahawa Al-Quran itu benar, tiada keraguan padanya. Ia adalah petunjuk untuk seluruh manusia, meskipun hanya orang beriman dan bertakwa yang menerimanya. Hakikatnya, kebenarannya tidak boleh dinafikan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Alif lam mim. Kitab (al-Quran) ini tiada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa.” (al-Baqarah: 1-2)
“Pada bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan padanya al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)…” (al-Baqarah: 185)
Ramai sibuk kejar dunia, belajar untuk dunia, berjuang habis-habisan demi dunia. Tapi, berapa lama kita akan hidup di sini? 70 tahun? 80 tahun? Kita bertungkus-lumus untuk sesuatu yang akhirnya akan kita tinggalkan.
Lebih parah, sebahagian kita langsung tidak peduli pada Al-Quran. Sedangkan kita semua tahu, tiada paksaan dalam beragama. Allah telah berfirman yang bermaksud:
“Dan katakanlah: “Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir”. Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.” (Al-Kahfi: 29)
Kita bebas memilih, tetapi pilihan kita ada akibatnya. Jadi, mahu kejar dunia yang sementara, atau akhirat yang kekal selamanya?
Satu prinsip yang perlu kita pahami bahwa setiap ketaatan yang kita lakukan, ibadah yang kita lakukan, sesungguhnya Allah SWT sama sekali tidak memerlukannya. Karena Allah SWT tidak memerlukan ketaatan yang dilakukan oleh makhluk. Sehingga tidak ada satu pun ibadah yang kita lakukan, kepentingannya kembali kepada Allah SWT
Sehingga kalau pun manusia sedunia ini semuanya kufur kepada Allah, Allah tetap Maha Kuasa, Allah tetap Maha Perkasa, kerajaan Allah SWT tidak akan berkurang sedikit pun. Sebaliknya ketika seluruh makhluk yang ada di alam semesta ini semuanya taat kepada Allah, itu pun tidak akan menambah kekuasaan dan kerajaan Allah SWT, seperti yang disebutkan di dalam surat Ibrahim ayat 8 di bawah.
Allah berfirman yang bermaksud,
“Dan Nabi Musa berkata: “Kalau kamu dan sesiapa jua yang ada di muka bumi seluruhnya berlaku kufur ingkar, maka (hal yang demikian tidak merugikan Allah), kerana sesungguhnya Allah adalah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”” (Ibrahim: 8)
Maka siapa sebenarnya yang memerlukan ibadah yang kita lakukan? Kita. Kerana ketaatan dan keimanan itulah yang akan menyelamatkan kita di akhirat untuk dapat kembali ke syurga-Nya. Maka Allah SWT Mengingatkan dalam al-Quran:
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Thaha: 124)
Itulah ancaman yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang yang ingkar dan tidak mahu mengikut petunjuk yang telah diberikan. Setiap perintah dipertikaikan kerana mungkin tidak kena dengan kehendak dan kemahuan diri sendiri.
Manusia pula bertanya,
“Ia berkata: “Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat?”
“Allah berfirman: “Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.”” (Thaha: 124-126)
Kehidupan akan dirasakan sempit dan sengsara walaupun hidupnya dipenuhi limpahan kekayaan dan kemewahan, walaupun mempunyai kuasa dan tahta. Mereka tidak rasa bahagia dengan apa yang ada seandainya mereka berpaling dari petunjuk Allah SWT. Hidup mereka huru hara walaupun dilihat tenang dan Bahagia.
Lihatlah apa kata Nabi SAW tentang mereka ini:
Dari Zaid bin Tsabit RA, ia mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa tujuan hidupnya adalah dunia, maka Allah SWT akan mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kefakiran di kedua pelupuk matanya, dan ia tidak mendapatkan dunia kecuali menurut ketentuan yang telah ditetapkan baginya. Barangsiapa yang niat (tujuan) hidupnya adalah negeri akhirat, Allah SWT akan mengumpulkan urusannya, menjadikan kekayaan di hatinya, dan dunia akan mendatanginya dalam keadaan hina.” (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya (V/ 183); Ibnu Mâjah (no. 4105); Imam Ibnu Hibbân (no. 72–Mawâriduzh Zham’ân); al-Baihaqi (VII/288))
Apabila seorang hamba menjadikan dunia sebagai tujuan hidupnya dan mengesampingkan urusan akhiratnya, maka Allah SWT akan menjadikan urusan dunianya tercerai-berai, berantakan, serba sulit, serta menjadikan hidupnya selalu diliputi kegelisahan. Allah SWT juga menjadikan kefakiran di depan matanya, selalu takut miskin, takut pengikutnya berkurang, takut kemahsyurannya hilang atau hatinya selalu tidak merasa cukup dengan rezki yang Allah SWT kurniakan kepadanya.
Dunia yang dapat hanya senilai ketentuan yang telah ditetapkan baginya, tidak lebih, meskipun ia bekerja keras dari pagi hingga malam, bahkan hingga pagi lagi dengan mengorbankan kewajibannya beribadah kepada Allah SWT, mengorbankan hak-hak orang tua, isteri, anak-anak, keluarga dan lainnya.
Dilaporkan sekarang di mana-mana Media Sosial, ramai manusia yang sakit jiwanya. Kenapa? Sebabnya mereka berpaling daripada peringatan Allah SWT. Allah SWT telah menimpakan di hatinya berbagai-bagai ketakutan yang merampas tenang dan bahagianya.
Dan sebaliknya, di antara nikmat Allah SWT yang paling besar dan agung atas hamba-Nya yang mengikut petunjuk-Nya, memberikan kekayaan pada hatinya, merasa puas dan cukup dengan apa yang Allah SWT kurniakan.
Dan ingatlah pesanan Rasulullah SAW melalui hadis Qudsi ini:
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullsh SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah SWT berfirman : ‘Wahai anak Adam. Luangkanlah waktumu untuk beribadah kepada-Ku, nescaya Aku penuhi dadamu dengan kekayaan (kecukupan) dan Aku tutup kefakiranmu. Jika engkau tidak melakukannya, maka Aku penuhi kedua tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak akan tutup kefakiranmu.’” (HR. Ahmad (II/358), at-Tirmidzi (no. 2466), Ibnu Mâjah (no. 4107), dan al-Hâkim (II/443))
Jadi, bacalah al-Quran, fahami maknanya, dan amalkan dalam kehidupan seharian. Inilah satu-satunya jalan yang akan membawa kita kembali ke Syurga Allah SWT. Al-Quran mengingatkan kita tentang musuh-musuh di sepanjang perjalanan ini – syaitan, hawa nafsu, dan godaan dunia yang semakin tua tetapi semakin mempersona.
Rasulullah SAW telah memberi amaran 1446 tahun yang lalu bahawa akhir zaman semakin dekat.
Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Sahl bin Sa’d RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“”Jarak diutusnya aku dan hari Kiamat seperti dua (jari) ini.” (Baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengah)” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Tanda-tanda kehancuran sudah semakin jelas. Ilmu diangkat, kejahilan bermaharajalela, zina berleluasa, arak menjadi kebiasaan, dan fitnah dunia semakin dahsyat
Hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA bahawa beliau mendengar daripada Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Antara tanda-tanda kiamat ialah diangkatnya ilmu, banyaknya kejahilan, merebaknya zina, arak diminum tanpa segan silu, serta lelaki semakin sedikit berbanding wanita.” (Riwayat al-Bukhari)
Masa yang berbaki semakin sedikit. Dunia ini hanya tipu daya, sementara akhirat adalah destinasi sebenar. Jangan biarkan diri kita hanyut dalam godaannya. Berpegang teguhlah kalian semua kepada tali Allah SWT (agama Islam), sebelum segala-galanya terlambat.
Tiada alasan, laki-laki berzina. Apa alasanmu untuk melakukannya sedangkan Allah SWT telah mengatakan di dalam al-Quran yang bermaksud:
“….maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja….” (Nisa’: 3)
Kita hidup di zaman yang penuh fitnah, seolah-olah menanti turunnya azab Allah SWT. Perzinaan berleluasa, malah ramai mencari cara untuk berzina tanpa rasa malu, bukan bagaimana menjauhinya. Bukannya usaha mencegah maksiat yang ditekankan, tetapi bagaimana melakukannya tanpa aib. Seakan-akan kita hidup dalam dunia tanpa agama.
Sedangkan dalam semua kitab suci, termasuk Taurat dan Injil sebelum ini, zina adalah dosa besar yang diberi hukuman berat. Namun, Al-Quran adalah petunjuk terakhir yang kekal dan jelas melarang zina:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina. Sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Surah al-Isra’: 32)
Jauhilah zina sebelum ia menghancurkan hidup dan mengundang kemurkaan dan azab Allah SWT.
Ibn Kathir dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Allah SWT bukan sekadar melarang zina, tetapi juga segala perkara yang boleh mendekatkan kepadanya – pandangan, sentuhan, ucapan, malah khayalan hati. Inilah maksud sebenar firman-Nya dalam surah al-Isra’ ayat 32 di atas.
Daripada Abu Hurairah, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan bahagian zina untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan ucapan, zina hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim
Maka jangan sesekali mengambil ringan perkara ini. Zina bukan bermula di bilik gelap, tetapi dari pandangan pertama, perbualan tanpa batas, dan perasaan yang dibiarkan liar. Semua itu jalan menuju kehancuran.
Allah SWT sudah memberi amaran:
“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu. Penjaganya adalah malaikat-malaikat yang kasar dan keras. Mereka tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepadanya dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (At-Tahrim: 6)
Peliharalah diri, keluarga, dan masyarakat daripada godaan zina. Jangan mendekatinya, jangan memberi ruang kepadanya, dan jangan biarkan ia merosakkan hidup kita.
Dan akhirnya, fahamilah dunia ini semakin tua, tetapi godaannya semakin luar biasa. Dosa yang dahulu disembunyikan, kini dibanggakan. Yang haram dihias indah, yang halal dipandang asing. Fitnah berleluasa, manusia berlumba-lumba mengejar nikmat sementara tanpa memikirkan azab yang menanti.
Jadi kembalilah mempelajari dan membaca al-Quran dengan memahami maknanya, kitab petunjuk agar kita tahu bagaimana untuk melaksanakan cara hidup Islam agar kita dapat kembali ke Syurga Allah SWT bersama keluarga dan masyarakat dan terhindar dari godaan dunia yang semakin tua tetapi menggoda. Godaan yang akan mencampakkan kita ke neraka dan kemurkaan Allah SWT.
Namun ingatlah, sehebat mana dunia menggoda, akhirnya ia tetap akan binasa. Hanya amalan yang akan kekal bersama kita. Jangan biarkan diri kita terpedaya dengan dunia yang semakin menua ini. Kembalilah kepada Allah SWT sebelum terlambat, kerana saat pintu taubat tertutup, tiada lagi jalan kembali.
Wallahu’alam
FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 21/3/2025
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!







