Laine tekad bantu Harimau Malaya

Laine tekad bantu Harimau Malaya


Nooa Laine. Foto fail Bernama

PEMAIN warisan, Nooa Laine bertekad membantu Harimau Malaya memulakan kempen pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 dengan langkah kanan apabila menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa ini.

Menurut Laine, skuad kendalian Peter Cklamovski itu tidak seharusnya mensia-siakan peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri bagi memastikan tiga mata berharga berjaya diraih.

“Sudah semestinya saya akan berusaha keras untuk menambat hati ketua jurulatih dan berharap dapat berada dalam kesebelasan utama menentang Nepal. Saya berjanji tidak akan menghampakan kepercayaan yang diberikan kepada saya.

“Pada saya, adalah penting untuk skuad kebangsaan memulakan kempen dengan kemenangan kerana tiga mata pertama akan meningkatkan keyakinan serta semangat juang pasukan untuk meraih lebih banyak kejayaan.

“Walaupun kita bukan tuan rumah kejohanan, bermain di laman sendiri tetap satu kelebihan yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Kita wajib menang dalam perlawanan ini,” katanya.

Laine turut mengingatkan rakan sepasukan agar tidak memandang rendah kemampuan Nepal walaupun Harimau Malaya memiliki rekod pertemuan positif sebelum ini.

“Kemenangan Nepal ke atas Singapura dalam aksi persahabatan baru-baru ini harus diberikan perhatian. Saya yakin barisan kejurulatihan telah menganalisis perlawanan tersebut dan akan memberikan input terbaik kepada kami sebelum perlawanan pada Selasa ini,” katanya.

Mengulas mengenai kehadiran Dr Craig Duncan selaku Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan, Laine menyifatkan peranan pakar tersebut banyak membantu dalam meningkatkan kecergasan pemain.

“Ini merupakan satu pembaharuan dalam skuad kebangsaan kerana sebelum ini tiada perancangan untuk menggunakan khidmat pakar yang menganalisis data setiap pemain dari aspek kecergasan.

“Setiap pagi kami menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memantau tahap kecergasan, dan maklum balas yang pantas diberikan bagi memastikan prestasi setiap pemain berada pada tahap terbaik,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top