Hukuman MFL hina, sejarah buruk buat Selangor FC – Azhari

Hukuman MFL hina, sejarah buruk buat Selangor FC – Azhari


KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Shah Alam mengutuk tindakan Malaysian Football League (MFL) kerana menghukum Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) tanpa mengambil kira insiden yang menimpa Mohamad Faisal Abdul Halim.

Ketuanya, Datuk Azhari Shaari berkata, hukuman itu bukan sahaja hina bahkan melakar sejarah buruk buat Selangor FC apabila kecederaan teruk yang dialami Faisal pemain sayapnya tidak mendapat pertimbangan sewajarnya.

“Perkara ini tidak pernah berlaku dalam sejarah, apa asas hukuman ini diberikan begitu hina sebegitu rupa.

“Apa yang Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahukan ketika itu ialah kecederaan Faisal diambil kira dan dipertimbangkan dengan memberi penangguhan perlawanan (Piala Sumbangsih).

“Sepatutnya MFL melihat perkara ini sebagai satu ancaman pemain sayap Selangor FC yang juga Harimau Malaya yang berbakat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, media melaporkan MFL mengenakan hukuman terhadap Selangor FC dengan denda sebanyak RM100,000 dan pemotongan tiga mata bagi saingan Liga Super 2024/2025.

Keputusan MFL itu selepas Selangor FC tidak hadir pada perlawanan Piala Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, 10 Mei lepas.

Dalam pada itu, Azhari menyifatkan hukuman itu sebagai tidak wajar dan tidak adil kerana insiden buruk itu bukan sahaja menimpa ke atas Faisal bahkan beberapa pemain kelab bola sepak lain ketika itu.

“Saya menjunjung titah Sultan Selangor yang murka berkenaan dengan hukuman yang dikenakan kepada Selangor FC malah ia tidak wajar dan tidak adil.

“Hukuman ini satu perkara yang amat berat dan saya sebagai Ketua UMNO Bahagian Shah Alam bersama dengan penyokong-penyokong Selangor amat bersimpati dan kesal dengan perkara yang menimpa Selangor FC,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 



Source link

OR

Scroll to Top