PSG memburu rekod tanpa kalah dalam saingan Ligue 1. Foto AFP
PARIS Saint-Germain (PSG) berada di ambang satu lagi kejuaraan Ligue 1 hujung minggu ini selain memburu rekod tanpa kalah pertama dalam sejarah bola sepak divisyen utama Perancis.
Kelab gergasi itu akan menerima kunjungan pasukan tercorot liga, Angers, pada Sabtu ini dengan hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kejuaraan Ligue 1 ke-11 dalam tempoh 13 tahun.
Dominasi PSG bermula sejak pengambilalihan oleh Qatar Sports Investments pada 2011.
Kini, mereka mendahului carta liga dengan kelebihan 21 mata berbaki tujuh perlawanan.
Secara matematik, PSG hanya boleh terlepas gelaran sekiranya tewas dalam semua baki perlawanan, manakala Monaco memenangi kesemuanya sambil mencatatkan perbezaan jaringan luar biasa – satu senario yang hampir mustahil.
Skuad kendalian Luis Enrique dijangka mahu memuktamadkan kejuaraan lebih awal di hadapan penyokong sendiri sebelum menumpukan perhatian kepada aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Aston Villa pada Rabu depan.
Minggu ini, PSG turut melangkah ke final Piala Perancis selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan kelab Ligue 2, Dunkerque, 4-2 dan bakal bertemu Reims pada 24 Mei.
PSG kini tidak tewas dalam 38 perlawanan domestik sejak kekalahan 1-3 kepada Toulouse pada Mei tahun lalu.
Dalam sejarah bola sepak Eropah, hanya beberapa kelab seperti Arsenal (era Arsène Wenger), Juventus, Celtic dan Bayer Leverkusen (musim lalu) yang berjaya menamatkan kempen liga tanpa kalah.
Di Perancis, Nantes paling hampir melakukannya apabila tidak tewas dalam 32 perlawanan pertama musim 1994/95.
“Kami bukan pasukan kebal, bukan adiwira dalam filem. Kami hanyalah sebuah pasukan bola sepak. Kesempurnaan tidak wujud,” kata Luis Enrique selepas kemenangan ke atas Dunkerque.
Namun, dengan pemain seperti Ousmane Dembélé, Désiré Doué dan Achraf Hakimi berada dalam prestasi cemerlang, PSG tidak perlu menjadi sempurna untuk meneruskan momentum kemenangan mereka.
Selepas perlawanan hujung minggu ini, tiga daripada enam baki perlawanan mereka adalah menentang pasukan yang kini berada di kelompok tercorot liga, manakala aksi menentang Nice dan Strasbourg dianggap sebagai cabaran terbesar dalam baki kempen domestik.