mahani@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pelajar yang dipercayai pelaku buli di sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pulau Pinang yang tular di media sosial digantung persekolahan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tindakan itu diambil bagi memastikan pelajar terbabit tidak mengganggu proses siasatan selain memberikan mesej jelas pihaknya tiada kompromi dalam isu buli.
“Saya sudah menerima hasil siasatan laporan penuh selepas mengarahkan pengurusan MARA dan Bahagian Pendidikan Menengah melakukan siasatan terperinci berhubung video yang tular itu.
“Hasil siasatan terperinci memang insiden itu benar-benar berlaku di MRSM di utara tanah air.
“Dalam proses siasatan ini pelajar terbabit mesti digantung terlebih dahulu agar tidak mengganggu proses siasatan.
“Keduanya (ia) memberikan mesej yang jelas tiada kompromi dalam isu ini.
“Kalau didapati perkara itu (buli) memang berlaku dan pelaku bersalah kita di peringkat MARA dan MRSM akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan sesekali berkompromi,” katanya dalam satu video pendek yang dimuatnaik di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Asyraf Wajdi memaklumkan akan menyiasat video tular dikaitkan dengan perbuatan buli membabitkan pelajar di sebuah MRSM di Pulau Pinang.
Beliau dipetik berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya kejadian dalam rakaman video berkenaan adalah perbuatan buli yang memang berlaku di institusi pendidikan MARA itu.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada semua pelajar di MRSM serta mana-mana institusi pendidikan MARA, tiada kompromi jika membabitkan insiden buli.
“Saya telah tegaskan beberapa kali prinsip ‘You Touch You Go’.
“Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang bentuk buli atau sebarang budaya buli dalam apa juga bentuk sama asa fizikal mahupun mental berlaku di mana-mana institusi pendidikan MARA.
“MARA adalah medan untuk melahirkan pemimpin mana mungkin kita nak melahirkan pemimpin dangkal akal budinya dan tercemar perilaku akhlak,” katanya.ss
© New Straits Times Press (M) Bhd