Tak cukup Sparring, Bunga Raya 15s dalam bahaya?

Tak cukup Sparring, Bunga Raya 15s dalam bahaya?


Pemain-pemain Bunga Raya 15s giat menjalani latihan Fasa Tiga di Arena Universiti Malaya (UM) pada Rabu.

KETUA jurulatih skuad ragbi 15 sebelah (15s) lelaki kebangsaan, Mohd Saizul Hafifi Md Noor, mengakui kekurangan perlawanan berintensiti tinggi merupakan cabaran utama menjelang perlawanan playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2025 menentang Sri Lanka.

Pun begitu, Saizul enggan menjadikan situasi tersebut sebagai alasan sebaliknya beliau terus menjalankan latihan insentif untuk memperbaiki kelemahan pasukan dalam usaha memastikan Malaysia kekal bersaing di pentas tertinggi kejohanan 15s Asia.

Setakat ini katanya, skuad Bunga Raya 15s mengadakan perlawanan ujian menentang kelab tempatan bagi memastikan barisan pemain sentiasa berada dalam kondisi terbaik.

“Buat masa sekarang, itu (kurang perlawanan berintensiti tinggi) cabaran yang kita kena terima,” katanya yang turut mengesahkan kehadiran dua pemain naturalisasi berpengalaman dari Fiji, Samuela Tamanisau dan Etonia Vaqa Saukuru selepas melalui penilaian ketat oleh Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Skuad Bunga Raya 15s terbang ke Colombo pada 19 April ini bagi berdepan tuan rumah yang juga merupakan juara Divisyen Satu di Stadium Racecourse.

Perlawanan menentang Sri Lanka penting kerana ia adalah harapan terakhir buat skuad negara kekal dalam ARC 2025 di Divisyen Premier, dengan kekalahan membawa kepada penyingkiran ke Divisyen Satu.

Untuk rekod, skuad Bunga Raya 15s menamatkan kempen ARC 2024 di tangga terakhir selepas tewas kepada Korea Selatan (5-55), Hong Kong (6-70) dan Emiriah Arab Bersatu (19-62).

Mengulas lanjut perlawanan menentang Sri Lanka, Saizul menegaskan bahawa pasukan lawan lebih bersedia kerana mereka baru sahaja menamatkan saingan liga kelab minggu lalu dan terus menyambung latihan skuad kebangsaan.

“Sri Lanka kini mempunyai kelebihan konsistensi tetapi kami tetap akan meneruskan persiapan dengan misi mengekalkan status, biarpun dalam keadaan kekurangan persiapan,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top