am@hmetro.com.my
Sungai Besar: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sungai Besar, di sini hari ini, atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran, bulan lalu.
Pembantu kedai makan itu mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hajar Ali.
Berdasarkan kertas pertuduhan, remaja perempuan itu didapati menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan membuang mayat bayi yang dilahirkan olehnya.
Kesalahan dilakukan di tandas wanita sebuah stesen minyak di Kampung Sungai Haji Dorani, di sini, 11 pagi, 23 Mac lalu.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama.
Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala tertuduh diwakili peguam, Muhd Muqri Mohd Khairi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sebelum menjatuhkan hukuman, Siti Hajar memaklumkan mahkamah mengambil kira semua faktor sewajarnya seperti umur tertuduh yang masih muda dan ia adalah kesalahan pertama dilakukannya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan penjara selama sebulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd