Pimienta dipecat selepas kekalahan keempat berturut-turut

Pimienta dipecat selepas kekalahan keempat berturut-turut


Seville: Sevilla memecat jurulatih Francisco Garcia Pimienta selepas pasukan itu tewas empat perlawanan berturut-turut dalam saingan La Liga musim ini, termasuk kekalahan 0-1 kepada Valencia, semalam.

Kekalahan itu menyebabkan Sevilla kekal di tangga ke-13 liga dan hanya mencatat satu kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir, termasuk kekalahan menyakitkan kepada seteru setempat Real Betis pada 30 Mac lalu.

“Sevilla ingin mengucapkan terima kasih kepada Garcia Pimienta atas khidmat dan profesionalismenya sepanjang beberapa bulan ini, dan mendoakan kejayaan untuk masa depannya,” kata kelab Andalusia itu dalam satu kenyataan rasmi.

Menurut laporan media Sepanyol, Joaquin Caparros dijangka kembali mengambil alih tugas sebagai pengendali sementara sehingga tamat musim, seperti yang pernah dilakukannya pada penghujung musim 2017-18 dan 2018-19.

Caparros bukan nama asing di Ramon Sanchez Pizjuan, selepas pernah mengendalikan kelab itu antara tahun 2000 hingga 2005 dan membawa Sevilla kembali ke saingan divisyen utama Sepanyol.

Pelantikan semula Caparros dijangka membawa kestabilan jangka pendek ketika Sevilla berusaha menamatkan musim di kedudukan selamat selepas kempen yang mengecewakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top