Kumpul bukti, perjuangkan hak anda

Kumpul bukti, perjuangkan hak anda


Sihir pemisah menjadi antara punca runtuhnya institusi rumah tangga yang berpunca dari perasaan dengki dan iri hati terhadap orang lain.

Di Malaysia, persoalan mengenai apakah punca ini diterima pakai di mahkamah apabila membabitkan perceraian suami isteri masih menjadi tanda tanya.

Penolong Pengarang Berita, YUSMIZAL DOLAH ALING mendapatkan Pengarah Advokasi Khidmat Guam, DR MAHMUD JUMAAT untuk berkongsi perspektif perundangan dalam Kafe Ahad minggu ini.

Adakah alasan sihir pemisah diterima mahkamah syariah?

Secara amnya, Mahkamah Syariah di Malaysia tidak mempunyai peruntukan khusus yang terang-terangan mengiktiraf sihir dalam pembuktian kes, namun ini tidak bermakna mahkamah menolak terus kemungkinan wujudnya sihir dalam kes yang dibicarakan.

Malah, beberapa kes syariah yang dilaporkan menunjukkan mahkamah sedia menimbangkan dakwaan sihir dengan syarat disertakan bukti dan keterangan kukuh.

Di Malaysia, fatwa kebangsaan mengiktiraf keseriusan jenayah sihir.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-33 (1993) memutuskan bahawa “pengamal sihir yang mendatangkan mudarat kepada manusia adalah berdosa besar dan pelaku jenayah, maka wajib dihukum”, selain menggesa supaya pihak berautoriti menggubal undang-undang untuk menghukum pelaku sihir.

Meskipun demikian, setakat ini peruntukan undang-undang terhadap jenayah sihir hanya ada di beberapa negeri.

Kesimpulannya, isu sihir boleh diterima sebagai pertimbangan di Mahkamah Syariah Malaysia dengan pendekatan berhati-hati.

Mahkamah akan melihat kepada keterangan langsung dan tidak langsung (qarinah) mengenai wujudnya sihir.

Ini termasuk dokumen atau laporan perubatan, keterangan saksi, pandangan pakar forensik atau pakar perubatan Islam, serta keadaan perubahan drastik yang berlaku pada tertuduh atau pihak terbabit.

   

Setakat ini, bagaimana Dr melihat elemen sihir menjadi punca masalah rumah tangga?

Akibat sihir, pasangan yang asalnya rukun boleh berubah menjadi benci, rumah tangga harmonis bertukar porak- peranda.

Tanda lazim termasuk suami isteri kerap bergaduh tanpa sebab jelas, timbul perasaan meluat dan panas baran melampau, hilang nafsu terhadap pasangan sendiri, atau gangguan misteri seperti nampak bayangan menakutkan di rumah.

Sebagai contoh, satu kisah dikongsikan, seorang isteri muda terkejut apabila suaminya tiba-tiba memohon cerai dan bersikap sangat dingin.

Suami yang dahulunya penyayang berubah menjadi pemarah, pulang ke rumah terus mengamuk, mencampak perabot dan enggan tidur bersama.

Isteri itu mengadu bahawa tiada masalah besar di antara mereka sebelum ini, lalu mendapatkan rawatan pengamal perubatan Islam. Hasilnya, dia dan suaminya disahkan terkena sihir pemisah, yang membuat suami merasakan benci yang tidak munasabah.

   

Apa yang pasangan boleh lakukan jika berdepan situasi begini?

Dapatkan bukti dan bantuan pakar. Dari perspektif undang-undang, pasangan yang mengesyaki wujudnya gangguan sihir perlu mengumpul bukti dan mendapatkan bantuan pihak berautoriti.

Bersikap terbuka dan sokongan keluarga. Dari perspektif kaunseling dan kemasyarakatan, komunikasi antara pasangan sangat penting.

Pakar perubatan Islam menyatakan bahawa tidak semua masalah rumah tangga berpunca daripada sihir boleh jadi masalah biasa seperti komunikasi terputus atau tekanan hidup.

Oleh itu, pasangan harus berbincang dengan tenang apabila timbul isu, dan elakkan terus menuduh satu sama lain.

Jika disyaki ada gangguan, usah pendam sendirian. Libatkan ahli keluarga terdekat yang dipercayai untuk memantau keadaan dan memberi sokongan.

   

Bagaimana pula jika masih menemui jalan buntu?

Apabila berikhtiar dari sudut fizikal, rohani dan undang-undang, tetapi keadaan rumah tangga masih tidak pulih, pakar berbeza pandangan mengenai langkah seterusnya.

Ada yang berpendapat pasangan perlu terus bersabar dan meneruskan rawatan, namun ada juga pandangan bahawa perceraian boleh menjadi jalan terakhir untuk mengatasi sihir pemisah.

Perceraian adalah halal tapi dibenci Allah, maka keputusan untuk bercerai hendaklah dibuat hanya setelah segala usaha perdamaian dan pengubatan gagal, serta setelah bermusyawarah dengan ahli keluarga dan pihak berautoriti.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top