KUALA LUMPUR : Akhirnya bersuara, selebriti dan usahawan terkemuka tanah air, Rozita Ibrahim, menyifatkan menantunya, Datin Seri Shahida Mohd Rashid sebagai seorang wanita yang cantik dan bijak.
Berikutan itu, akui Rozita, ia merupakan antara sebab utama mengapa Shahida menjadi pilihannya sebagai menantu untuk berkahwin dengan anaknya, Datuk Seri Aliff Syukri.
“Sebab itu dia menjadi pilihan saya sebagai menantu. Jika saya uzur nanti, saya yakin dialah menantu yang boleh menemani saya. Ya Allah, jagakanlah insan ini untuk Kri ( Aliff) dan anak-anaknya.
“Dia sahabat baik saya yang tahu semua kisah duka saya, yang anak-anak saya sendiri pun tidak tahu. saya sorokkan, hanya kepada Ida saya ceritakan. Dia wanita terhebat di hati saya.
“Saya pernah menjadi menantu, saya tahu pedih dan susahnya menyesuaikan diri dalam keluarga suami. Maka saya ingin menjadi ibu mentua yang terbaik untuk mereka.
“Saya patut berterima kasih kepada menantu perempuan kerana dialah yang melayani anak lelaki saya dalam susah dan senang. Saya tahu bagaimana rasanya masuk ke dalam keluarga orang, kekok dan terasa terasing,”katanya.
Selain itu, Rozita berkata, dia seorang yang membela hak menantu berikutan sedar kelemahan anak-anaknya.
“Mereka ialah anak orang yang perlu dihargai. Menantu pilihan saya, Ida dan Fiza ialah hadiah paling berharga yang saya berikan kepada anak-anak lelaki saya kerana mereka sabar, bijak, kuat. Itulah kecantikan sebenar mereka.
“Dia adalah anugerah Allah yang bernilai dalam kehidupan saya. Menantu saya tidak kaya, tetapi kaya dengan kebaikan. Terlalu baik, tidak pernah meminta-minta daripada anak-anak lelaki saya. Saya pernah menyuruh Ida ambil duit daripada Kri sebab saya risau Kri ramai peminat! Tapi Ida bukan mata duitan.
“Besan saya, Ani, sangat rapat dan baik dengan saya. Kri hadiahkan kami berdua menunaikan umrah dan haji bersama-sama.
“Kami tidak mencampuri urusan Kri dan Ida. Kami hanya berdoa agar anak-anak kami bahagia. Kami ialah besan yang bahagia,”ujarnya.
Kongsi Rozita lagi, dia juga menghargai kehadiran Shahida dan Fiza dalam keluarganya kerana mereka merupakan menantu yang ada ketika dia sedang melalui kejatuhan bisnes dan emosi hal keluarga.
“Mereka setia dan sentiasa ada untuk saya bila-bila masa. Mereka ialah menantu yang berada di sisi saya. Saya pesan kepada Ajim, Ajah, Ain, dan Amani bahawa semasa kamu kecil, abang Kri dan Kak Ida, juga abang Ajim dan Kak Fiza banyak menjaga kamu waktu saya bekerja jauh.
“Susah senang mereka ada untuk kamu.
Mereka ialah ibu bapa kedua kamu yang terbaik dunia dan akhirat. Kami bersahabat baik. Mereka ini asalnya staf saya! Saya tidak memberikan mereka kekayaan, tetapi saya didik dan ajar mereka mencari kekayaan jiwa dan bertahan melalui suami mereka iaitu anak-anak lelaki saya.
“Semasa arwah ayah dan mak saya sakit, Ida dan Kri ialah cucu terbaik yang menziarahi dan menemani ibu bapa saya dari kampung ke bandar.
“Dari rumah ke hospital, sampai ke kubur, tanpa jemu, tanpa alasan sibuk, walaupun mereka juga usahawan besar,”katanya.
Luahan Rozita tersebut mendapat banyak lontaran komen positif daripada pengikutnya di media sosial.
Rata- ratanya menyifatkan ia sekali gus membantu membersihkan nama baik Shahida terutama setelah cuba dicemarkan dengan pelbagai tuduhan oleh adik iparnya, Rebecca Nur Islam dan pihak tertentu lain.