Pelaburan RM1.3 bilion Coca-Cola pacu ekonomi tempatan sejak 15 tahun lalu

Pelaburan RM1.3 bilion Coca-Cola pacu ekonomi tempatan sejak 15 tahun lalu


PETALING JAYA: The Coca-Cola Company telah melabur lebih RM1.3 bilion sepanjang 15 tahun operasi hab pembuatan serta pengedaran Coca-Cola Bottlers Malaysia di Bandar Enstek, Negeri Sembilan, sekali gus menyokong pembangunan rantaian bekalan serta pemerkasaan industri pembuatan negara.

Sejak memulakan operasi di Bandar Enstek pada 2010, kemudahan itu berkembang menjadi antara hab pembuatan dan pengedaran Coca-Cola paling moden di rantau ini, dengan menyediakan lebih 1,400 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia selain menyokong rangkaian pembekal, rakan niaga dan perusahaan tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Bottling Investments Group (BIG) Asia Tenggara, Tolga Cebe berkata, meraikan 90 tahun kehadiran Coca-Cola di Malaysia dan 15 tahun di Bandar Enstek mencerminkan kepercayaan yang diberikan oleh pengguna, pelanggan, pekerja dan rakan perniagaan terhadap syarikat.

“Kami berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan yang membolehkan kami terus berkembang bersama Malaysia. 

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus melabur dalam pembangunan modal insan, memperkukuh keupayaan operasi serta mewujudkan nilai jangka panjang menerusi pelaburan dan kerjasama strategik di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Hab Bandar Enstek kini menjadi pemacu utama operasi Coca-Cola di Malaysia dengan menyokong pengeluaran dan pengedaran pelbagai produk minuman syarikat ke seluruh negara, selain memenuhi keperluan pasaran serantau termasuk Singapura dan Brunei.

Bagi meningkatkan kecekapan operasi, syarikat turut melaksanakan pelaburan dalam automasi, pendigitalan dan inovasi rantaian bekalan, termasuk penggunaan Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS), selain memanfaatkan penyelesaian berasaskan kecerdasan buatan (AI) melalui portal eB2B, Coke Buddy.

Kemudahan itu juga mengamalkan amalan pengeluaran mampan menerusi penggunaan panel solar di bumbung, sistem penuaian air hujan serta pengurusan sumber yang cekap, selaras dengan usaha syarikat menyokong agenda kelestarian dan ekonomi kitaran negara.

Sebagai kemudahan yang diperakui halal serta mematuhi piawaian antarabangsa dalam aspek kualiti, keselamatan makanan dan pengurusan alam sekitar, Bandar Enstek memainkan peranan penting dalam memperkukuh daya saing sektor pembuatan makanan dan minuman Malaysia.

Selain memperkukuh kapasiti pengeluaran, Coca-Cola Bottlers Malaysia turut memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan dan pengukuhan ekosistem industri menerusi kerjasama dengan pembekal, rakan perniagaan serta agensi kerajaan.

Syarikat turut menegaskan komitmennya untuk terus melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, pengurusan air, pemuliharaan sumber dan penyelesaian pembungkusan mampan bagi menyokong aspirasi Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon dan pertumbuhan yang lebih lestari. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top