Myanmar lanjut gencatan senjata sementara hingga 30 April

Myanmar lanjut gencatan senjata sementara hingga 30 April


Yangon: Pejabat Panglima Besar Angkatan Tentera Myanmar pada Selasa mengumumkan lanjutan gencatan senjata sementara yang pada asalnya berkuat kuasa dari 2 hingga 22 April, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan pejabat itu, tempoh gencatan senjata kini dilanjutkan sehingga 30 April.

Lanjutan itu bertujuan menyokong operasi menyelamat dan penempatan semula yang berkesan di kawasan terjejas gempa bumi, selain menjaga kepentingan negara dan rakyat, memastikan bantuan kecemasan disampaikan tepat pada masanya serta memupuk keamanan dan kestabilan yang berkekalan.

Dalam tempoh gencatan senjata yang diisytiharkan, kumpulan etnik bersenjata dan kumpulan bersenjata lain digesa agar tidak mengganggu atau menyerang laluan komunikasi yang digunakan orang awam, tidak mencederakan atau merosakkan harta dan nyawa orang awam, tidak menyerang anggota keselamatan dan kem mereka, tidak menyasarkan ibu pejabat tentera, tidak merekrut atau menggerakkan anggota bagi tujuan yang boleh menjejaskan keamanan, serta tidak melakukan persiapan atau peluasan kawasan kawalan.

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa jika tindakan sedemikian berlaku, Angkatan Tentera Myanmar akan mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi orang awam.

Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Myanmar pada 28 Mac lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top